fbpx

Wanita beli iPhone guna kad curi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan wanita yang didakwa mencuri kad ATM individu lain.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita tempatan dicekup setelah disyaki mencuri sekeping kad ATM milik seorang wanita di sebuah premis sekitar Pandan Perdana, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, suspek yang merupakan wanita berusia 21 tahun berkenaan berjaya ditangkap di sebuah premis kira-kira pukul 12.25 tengah malam tadi.

“Kita turut merampas satu keping kad ATM milik mangsa dan satu unit telefon bimbit jenama iPhone 13 Pro yang dipercayai dibeli menggunakan transaksi akaun bank mangsa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita tempatan berkenaan pengurangan wang di dalam akaun bank miliknya pada 25 Mac lalu, sekitar pukul 8.53 malam.

“Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi kerana wang di dalam banknya telah lesap sebanyak RM8,200 dan transaksi bermula pada 23 Mac secara berperingkat.

“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer,” jelasnya.

Terdahulu, seorang lelaki mendedahkan mengenai wanita terbabit di media sosial selepas mencuri sejumlah wang menggunakan kad ATM milik adiknya ketika berkunjung di rumah untuk menyambut Ramadan pertama.

Katanya, pada 23 Mac lalu, mereka berdua keluar ke Hulu Hypermarket Kuala Lumpur untuk membeli barang dapur dan ketika itu, wanita tersebut meminjam beg tangan adiknya manakala adik hanya membawa dompet sahaja.

“Adik meminta wanita tersebut untuk memegang dompet seterusnya pulang ke rumah untuk memasak juadah berbuka. Wanita itu kemudiannya meminta kebenaran untuk pergi pusat beli-belah Sunway Putra dan melakukan pengeluaran wang berjumlah RM5,000.

“Esoknya, dia pergi ke Berjaya Times Square dan keluarkan wang RM3,000 sekitar pukul 1.51 tengah hari seterusnya Rm2,000 pada pukul 11 malam di Jalan Gombak sebelum balik ke Genting Highlands,” ujar lelaki terbabit.

Jelasnya, adiknya menyedari wang berkurang setelah melihat baki akaunnya pada 26 Mac selain menyedari wanita tersebut turut mencuri RM1,000 wang peraduan ‘Live’ TikTok milik adiknya.

“Sehingga sekarang (12 April), wanita itu belum dapat dijejaki. Bukan sekali dia mencuri, habis barang kemas ahli keluarga dia curi sebelum ini,” tambahnya.

Menurut pengguna Facebook, Farah Hanim Alias, wanita tersebut telah membeli iPhone 14 Pro Max serta barang kemas menggunakan duitnya yang dicuri sebelum ini.

“Aku dah tolong dia, tumpang rumah, bagi makan serta tempat tinggal sebab kasihan. Walaupun anak saudara tiri tetapi layan macam anak saudara kandung,” luahnya -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI