fbpx

Peniaga wajib letak tanda harga elak kompaun sebelum raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahudin (berdiri kanan) sempat beramah mesra dengan pelanggan ketika mengadakan walkabout Jualan Rahmah di Courts, Setapak di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan para peniaga untuk mempamerkan tanda harga barangan yang dijual dengan jelas agar tidak mengelirukan pembeli.

Menterinya, Datuk Seri Salahudin Ayub berkata, peringatan itu diberikan bagi mengelakkan ada di antara peniaga dikenakan kompaun sebelum sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi gara-gara ingkar dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihaknya.

“Nasihat kepada peniaga untuk letakkan tanda harga pada jualan masing-masing, harga dipamerkan perlu jelas supaya pembeli tahu dan boleh buat pilihan.

“Kalau ada yang ingkar kita boleh kompaun sebab kita ada peraturan-peraturan yang mana mereka perlu ikut, kalau buat berulang kali kesalahan sama, akan diambil tindakan.

“Tapi saya yakin, bila dah diberitahu sebegini, peniaga akan ikut. Kita pun tak nak ambil tindakan drastik lagi-lagi nak sambut hari raya ini. Jadi kita harap peniaga boleh patuh arahan untuk letak tanda harga,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengadakan walkabout Jualan Rahmah di Courts, Setapak di sini, hari ini.

Menurut Salahudin, arahan mempamerkan tanda harga barangan yang dijual termasuk mereka yang berniaga di bazar Ramadan dan mana-mana kawasan perniagaan yang dibuka.

Dalam perkembangan lain, Salahudin berharap agar akan lebih banyak syarikat-syarikat perabot, elektrik dan gedung barangan rumah menyahut saranan kerajaan dalam melaksanakan inisiatif Payung Rahmah agar dapat menawarkan harga yang lebih rendah serta mampu milik buat rakyat Malaysia.

“Kalau lebih banyak syarikat perabot, syarikat elektrik dapat tawarkan harga yang lebih ‘Rahmah’ sertai inisiatif Payung Rahmah, kita akan sama-sama dapat ringankan beban rakyat kerana ekonomi negara belum pulih sepenuhnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI