fbpx

Bekas Ceo MARii didakwa rasuah RM5juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan rasuah RM5juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Mohamad Madani Sahari, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mohamad Madani didakwa menerima suapan RM5juta daripada seorang lelaki berusia 48 tahun melalui akaun bank milik sebuah firma guaman atas arahan lelaki lain berusia 37 tahun.

Ini sebagai upah telah membantu Syarikat Aspire Knowledge Sdn. Bhd. mendapatkan surat penganugerahan (LOA) berjumlah RM12juta bagi tujuan menjalankan ProgramService Provider For MARii’s Employalibity And Re-Training Local Talent (ERT) daripada Syarikat A2Z Technology Sdn. Bhd iaitu syarikat subsidiari kepada MARii.

Kesalahan itu dilakukan di cawangan sebuah bank di Seksyen 15 di sini pada 8 Julai 2021.

Sehubungan itu, Mohamad Madani didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM CH Law menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Rahmat Hazalan yang mewakili tertuduh tidak membantah perkara itu.

Mahkamah membenarkan kesemua cadangan jaminan termasuk syarat tambahan daripada pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Jun.

Difahamkan Mohamad Madani mempunyai 20 lagi pertuduhan di Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur berkaitan penyelewengan nilai projek MARii termasuk pengubahan wang haram. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI