fbpx

Bekas Setiusaha Politik Idris Haron didakwa kes suapan RM408,736

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka ke-10, Datuk Seri Idris Haron didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 12 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM408,736 pada 2017.

Tertuduh, Datuk Rosli Hasan, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus 12 pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh ketika itu yang merupakan pegawai badan awam iaitu Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron didakwa telah membantu sebuah syarikat untuk dilantik sebagai kontraktor bagi projek bernilai RM5.28 juta.

Projek itu adalah bagi mereka bentuk, membina dan menyiapkan sebuah masjid, dewan serbaguna, tiga lot kedai dan rumah sampah secara reka dan bina di atas sebahagian tanah di Mukim, Bachang.

Sebagai balasan tertuduh telah menerima suapan dalam bentuk khidmat pengubahsuaian rumah milik isterinya di di alamat No 24, Jalan Pokok Mangga 6A, Taman Pokok Mangga bernilai RM323,736 antara Mei 2017 hingga Februari 2018.

Bagi pertuduhan kedua sehingga ke 12, tertuduh didakwa telah menerima baki suapan melalui bayaran kad kredit berjumlah RM85,000 antara Mei 2017 hingga 19 Oktober 2017 di CIMB Bank Cawangan Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Irwan Shah Abdul Samad mencadangkan jaminan sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu pasport kepada mahkamah serta perlu melapor diri di pejabat SPRM sekali dalam sebulan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork memohon agar jaminan RM30,000 dijadikan bercagar dan RM50,000 tidak bercagar memandangkan tertuduh tidak lagi bekerja dan hanya mengharapkan pencen sebanyak RM2,018 sebulan serta menanggung dua isteri dan lapan anak.

Elesabet kemudian membenarkan rayuan pembelaan dan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan. Beliau kemudian menetapkan tarikh 16 Mei depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI