fbpx

Mahkamah: Empat lelaki guna Sim Box tidak diperakui didenda RM150,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Empat lelaki didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Hakim N.Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Chua Vi Vern, 32, Lu En Ci, 25, Liew Kok Chun, 28, dan Kitmikael, 22, selepas kesemua mereka selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.

Vi Vern didenda RM60,000 kerana ada dua pertuduhan, manakala tiga lagi lelaki iaitu En Ci, Kok Chun dan Kitmikael masing-masing didenda RM30,000 atas satu pertuduhan.

Sekiranya jumlah denda itu gagal dibayar mereka masing-masing boleh dipenjara selama tiga bulan dan kesemua OKS membayar jumlah denda itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menggunakan 52 unit Sim Box tiada jenama dan model yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000

Kesalahan itu dilakukan di dua buah residenasi dan sebuah kondominium di sini antara 9 malam hingga 11.10 pagi antara 25 November 2021 dan 19 Januari lalu.

Berikutan itu, kesemua OKS didakwa di bawah Peraturan-Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dan Peraturan 16 (3) peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, kesemua OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda yang rendah dengan alasan mereka mempunyai tanggungan keluarga selain tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa dari SKMM Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon hukuman denda berbentuk setimpal supaya memberi pengajaran terhadap kesemua OKS dengan mengambil kira faktor kepentingan awam. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI