fbpx

UCL: Peluang Inter Milan pulihkan maruah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GANDINGAN Dzeko (kiri) dan Martinez bakal menjadi sandaran Inzaghi untuk merobek gawang Benfica pada aksi awal pagi esok. – AFP

MILAN – Pentas Liga Juara-Juara adalah satu-satunya peluang buat Inter Milan untuk menyelamatkan kempen mereka selepas gagal berada pada kedudukan yang baik dalam sai­ngan Serie A musim ini.

The Nerazzurri berpotensi tidak layak ke Liga Juara-Juara musim depan apabila menghuni tangga kelima Serie A dan perlu bersaing dengan AS Roma serta AC Milan untuk merebut tempat keempat iaitu slot terakhir kela­yakan ke pentas berprestij Eropah itu.

Ia juga dilihat sebagai platform terbaik buat Jurulatih Inter, Simone Inzaghi mendapatkan semula kepercayaan para penyokong kelab itu terutama Ultras Inter yang dilihat semakin hilang keyakinan terhadap kredibilitinya.

Perkara itu susulan kegagalan Inter membawa pulang tiga mata apabila membenarkan Salernitana mengikat kedudukan 1-1 pada lewat permainan dalam aksi Serie A di Stadio Arechi hujung minggu lalu.

“Ini bukanlah keputusan yang kami mahukan, tetapi anda perlu melihat kepada persembahan yang dipamerkan oleh para pemain. Kejayaan akan hadir kalau kami terus bermain seperti ini.

“Cumanya kami perlu terus berusaha dan kurangkan me­lakukan kesilapan. Saya mahu pemain buktikan perkara ini apabila menentang Benfica di suku akhir Liga Juara-Juara selepas ini.

“Saya minta maaf kerana cuma dapat membawa pulang satu mata. Kami perlu lupakannya dan bersedia sebaik mungkin jika kami mahu melangkah ke separuh akhir musim ini,” kata Inzaghi.

Inter terpaksa menerima hakikat masih tidak dapat menggunakan khidmat dua pemain utama, Hakan Calhanoglu dan Milan Skriniar yang hanya sempat cergas untuk beraksi dalam aksi timbal balik di San Siro pada 20 April ini.

Bagaimanapun, bekas juara Scudetto dua musim lalu itu boleh terus mengharapkan ketajaman dua penyerangnya, Lautaro Martinez dan Edin Dzeko untuk merobek gawang Benfica yang dilihat kebal apabila beraksi di laman sendiri.

Penyerang pinjaman dari Chelsea, Romelu Lukaku dijangka memanaskan bangku simpanan terlebih dahulu selepas dikatakan tidak sesuai dengan taktikal permainan Inzaghi untuk aksi kali ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI