SETIAP tahun, apabila tibanya Hari Raya Aidilfitri, wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Nur Suzanna pasti akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut lebaran bersama keluarga.
Menariknya, dia pulang ke kampung halamannya di Kedah dari ibu kota dengan menggunakan kereta sewa.
“Saya sebenarnya masih belum mempunyai kereta sendiri.
“Disebabkan itu, saya lebih selesa menyewa kereta untuk pulang ke kampung ketika hari raya.
“Sukar untuk saya merancang perjalanan dengan menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api.
“Ini kerana, cuti pulang raya hanya boleh diketahui pada saat-saat akhir,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Tambahnya, biarpun mempunyai kemampuan untuk membeli kenderaan sendiri, namun kereta bukanlah keutamaan kepadanya ketika ini.

Nur Suzanna menjelaskan, urusan menyewa kereta juga semakin mudah dengan adanya aplikasi yang menawarkan perkhidmatan sedemikian.
Malah, dia boleh memilih pelbagai jenis kereta yang ingin disewa mengikut kemampuannya.
“Selalunya, cuti raya saya tidak lama. Jadi, lebih berbaloi menyewa kereta untuk pulang ke kampung.
“Ketika di kampung, saya tidak perlu meminjam kereta orang lain untuk bergerak,” katanya yang bekerja dalam sektor swasta.
Selain Nur Suzanna, seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Akmal juga selesa menyewa kereta untuk pulang beraya.
Akmal mengakui, dia menyewa kereta mewah untuk mengagumkan orang di kampung apabila pulang beraya.
“Apabila pulang ke kampung dengan memandu kereta BMW, saya tidak akan dipandang rendah oleh saudara-mara dan sahabat handai.
“Setiap orang ada keinginan untuk memandu kereta mewah. Jika tidak mampu untuk membelinya, kita boleh sewa saja,” jelasnya.
Tambahnya, dia tidak kisah memperuntukkan sejumlah wang bagi menyewa kereta mewah pada hari raya.
Menariknya, urusan menyewa kereta kini semakin mudah dengan adanya pelbagai platform yang menawarkan perkhidmatan sedemikian, salah satunya ialah Moovby.
Moovby adalah aplikasi perkongsian kereta yang mana pemilik kereta boleh menyewakan kenderaan mereka kepada orang ramai.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Moovby, Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamil berkata, permintaan terhadap kereta sewa pada musim perayaan meningkat sehingga 300 peratus berbanding hari-hari biasa.
Menurutnya, pelbagai segmen kereta boleh disewa pelanggan untuk pulang ke kampung beraya.
“Kami menerima tempahan sewaan bermula daripada kereta biasa sehinggalah mewah.
“Melalui Moovby, pelanggan boleh memilih pelbagai jenis kereta mengikut kehendak dan kemampuan masing-masing,” katanya.
Untuk makluman, Moovby telah diasaskan pada 2018 dengan berbekalkan tiga buah kereta sahaja.
Kini, platform itu kian berkembang dan mempunyai lebih 12,000 kereta yang boleh disewa di seluruh negara.
Menjelang hujung tahun ini, Moovby menyasarkan untuk menambah jumlah kereta kepada 30,000 buah.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Amin berkata, pelanggan yang menggunakan perkhidmatan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang.
“Pelanggan kami meliputi komuniti tanpa kenderaan, namun mereka memerlukan kereta untuk pulang ke kampung menyambut Syawal.
“Selain itu, ada yang menggunakan perkhidmatan ini bagi mendapatkan kereta lebih selesa dan selamat ketika pemanduan jauh,” katanya.
Tambahnya, ada juga yang menyewa kenderaan untuk gaya hidup demi menarik perhatian orang lain terhadap dirinya dengan memandu kereta mewah.
Harga yang ditawarkan Moovby untuk sewaan kereta juga lebih murah berbanding platform lain.
Harga sewaan kereta biasa bermula antara RM100 sehingga RM120 sehari.

Manakala, kereta MPV seperti Vellfire adalah antara RM450 hingga RM600 sehari.
Dalam pada itu, Nik Muhammad Amin berkata, urusan sewaan kereta juga sangat mudah.
Jelasnya, ia boleh dilakukan hanya melalui hujung jari menerusi peranti pintar.
“Pelanggan hanya perlu mencari kereta yang hendak disewa dalam aplikasi Moovby.
“Di dalam aplikasi itu ada pelbagai butiran penting merangkumi harga dan lain-lain lagi.
“Setelah tempahan dibuat, pelanggan boleh pergi berjumpa pemilik kenderaan untuk mengambil kunci.
“Selain itu, pelanggan boleh mengakses kereta tersebut dengan hanya menggunakan telefon pintar,” terangnya.
Dalam pada itu, Nik Muhammad Amin menegaskan, melalui aplikasi tersebut, pihaknya juga boleh membantu pemilik kereta menjana pendapatan bulanan secara pasif.
Menurutnya, terdapat segelintir individu yang memiliki lebih daripada satu kereta.
“Ini memberi peluang kepada pemilik kereta berkenaan menjadi ‘host’ dan menyewa kenderaan yang jarang digunakan oleh mereka.
“Ini secara tidak langsung membantu mereka (pemilik kenderaan) menjana pendapatan tambahan.
“Di bandar-bandar besar, permintaan terhadap kereta sewa ini sangat menggalakkan.
“Ada ‘host’ yang menyewakan kereta segmen sedan atau ekonomi berjaya mendapat pulangan purata sehingga RM3,500 sebulan,” terangnya.
Dengan beberapa langkah mudah, pemilik kereta boleh mendaftar dan menawarkan kenderaan mereka untuk disewa kepada orang ramai.
Untuk mendaftar, pemilik kereta perlu menyediakan beberapa dokumen penting untuk pengesahan pihak Moovby.
Semua pengesahan tersebut boleh dilakukan secara atas talian menerusi aplikasi Moovby.
“Pemilik kenderaan hanya perlu memuat naik dokumen seperti salinan geran, insurans untuk proses pengesahan,” ujarnya.
Sekiranya semua dokumen lengkap, proses pengesahan akan mengambil masa 24 jam sebelum kereta boleh disewakan kepada pihak lain.
“Di Moovby juga, proses verifikasi amat ketat.
“Kami menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan machine learning untuk mereka yang ingin menyewa kereta.
“Teknologi ini digunakan bagi memastikan kereta yang disewa ini tidak disalahgunakan dan sebagainya.
“Sehingga kini, sekitar 15 peratus pelanggan tidak diluluskan sewaan mereka kerana ada unsur keraguan,” kata Nik Muhammad Amin.














