fbpx
NUHA Bahrin dan Naufal Azrin tampil dengan sebuah lagu untuk bulan Ramadan berjudul Iktiraf.

Iktiraf Nuha Bahrin, Naufal Azrin sucikan jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJALANI Ramadan pertama sebagai artis menjadi momen mengujakan buat pendatang baharu Nuha Bahrin.

Berbeza dengan tahun sebelumnya, Nuha tidak menang tangan menyantuni undangan berbuka dan melakukan kerja-kerja amal sepanjang bulan mulia ini.

Penyanyi yang meledak dengan lagu Casablanca itu mengakui seronok berpeluang bekerja sambil mengumpul pahala.

“Alhamdulillah Ramadan kali ini sangat berbeza bagi saya kerana tahun lepas saya sibuk sebagai pelajar. Tahun ini pula sibuk bekerja.

“Puasa kali ini saya tak ambil banyak tawaran kerja, kecuali aktiviti amal dan majlis berbuka puasa. Seronok juga bekerja dalam bulan ini dapat peluang berbuka puasa dengan orang lain sambil beramal.

“Setakat ini dapat berbuka puasa sekali dengan keluarga pada hari pertama Ramadan. Hari lain banyak hadiri majlis buka puasa,” ujarnya.

Iktiraf

Berkongsi tentang kerjaya dan lagu baharu, Nuha dan pasangan duetnya Naufal Azrin tidak melepaskan peluang melancarkan lagu istimewa Ramadan berjudul Iktiraf.

Menurut Nuha, Iktiraf boleh dijadikan sebagai santapan rohani pendengar sepanjang bulan yang penuh dengan kemuliaan ini.

KALI pertama menyambut Ramadan sebagai artis, Nuha seronok berbuka puasa sambil beramal sepanjang Ramadan. – UNIVERSAL MUSIC

“Saya percaya ramai yang kenal dan tahu mengenai Iktiraf ini. Doa ini antara yang sering kita dengar atau baca setiap kali berdepan kesulitan.

“Doa ini mengingatkan kita untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Maha Pencipta supaya jangan berhenti berdoa dan memohon keampunan daripada-Nya.

“Sebagai hamba, kita perlu sentiasa muhasabah dan bertaubat memperbaiki diri kerana keampunan Allah SWT adalah matlamat yang ingin dicapai setiap mukmin,” katanya.

Tambah Nuha, dia bersyukur apabila proses rakaman lagu Iktiraf berjalan lancar dengan bantuan pasukan produksi yang hebat.

“Alhamdulillah proses rakaman lagu ini berjalan dengan lancar. Dengan bantuan Naufal serta setiap individu yang terbabit dalam lagu ini segalanya berjalan dengan mudah.

“Saya harap peminat akan menyukai lagu yang dibawakan ini dan sama-sama kita rebut dan gandakan pahala di bulan penuh kemuliaan ini,” katanya.

Sementara itu, Naufal pula berharap lagu yang diinspirasikan daripada doa Abu Nawas terbitan Beegood Music, Masyhur dan Universal Music Malaysia ini dapat memberi keinsafan kepada setiap yang mendengar.

ENGGAN perjalanan seni mereka terhenti setakat Casablanca, Nuha dan Naufal kini merancang sebuah lagi lagu duet yang bakal dilancarkan selepas Aidilfitri, selain lagu Iktiraf sempena Ramadan.

“Allah SWT sentiasa membuka pintu taubat seluas-luasnya terhadap hamba yang mengaku kekhilafan dan berusaha memperbaiki kesilapan itu.

“Jadi saya harap lagu yang dibawakan ini dapat menjentik hati setiap insan, lebih-lebih lagi kepada sesiapa yang ingin berubah ke jalan kebaikan,” katanya.

Berkongsi pengalaman ketika menjalani proses rakaman video muzik Iktiraf, Naufal berkata, proses rakaman lagu dan muzik video dibuat dalam tempoh sehari.

Iktiraf sudah boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, manakala muzik video Iktiraf sudah boleh ditonton dalam saluran YouTube Masyhur sejak 28 Mac lalu.

Viral

Bercakap tentang kerjaya seni, Nuha juga bakal melancarkan sebuah lagi lagu terbaharu bersama rakan duetnya, Naufal Azrin selepas Hari Raya Aidilfitri.

Masih mengekalkan konsep sama seperti Casablanca, penyanyi berusia 23 tahun itu mengakui agak tertekan mencari karya setanding dengan lagu berkenaan.

“Sudah tentu ada rasa tertekan untuk cari lagu yang setanding Casablanca tapi saya percaya pada rezeki. Saya tak berkarya hanya untuk viral.

“Kami ada target untuk sesebuah lagu tapi jika tidak viral seperti diharapkan kami terima dan teruskan karya lain,” ujarnya.

NUHA rancang kolaborasi sekali lagi bersama Melly Goeslow.

Bersyukur masih bergandingan dengan rakan baiknya Naufal, Nuha akui penyanyi itu banyak mengajar dan memberi sokongan kepadanya.

“Naufal seorang kawan baik dan yang paling rapat dalam industri seni. Saya banyak belajar daripada dia.

“Kami membesar dalam industri seni bersama-sama,” ujarnya yang turut mempunyai perancangan melancarkan single solo tahun ini.

Melly Goeslow

Tentang peluang merakam semula lagu Jika ciptaan Melly Goeslow, perkara tersebut dianggap sebagai sebuah pengalaman terbaik baik bagi Nuha.

Menurutnya, komposer dan penyanyi dari Indonesia itu seorang yang sangat merendah diri dan tidak sombong biarpun bergelar legenda.

“Melly sangat baik dan merendah diri. Dia banyak menyokong dan membantu dalam mempromosikan lagu tersebut.

“Biarpun lagu asal bertaraf karya agung, tetapi Melly masih boleh menerima jika lagu itu digubah dalam versi baharu.

“Melly juga selalu beri nasihat melalui media sosial. Saya belajar daripada dia bukan sahaja berkaitan muzik tapi personalitinya,” ujar Nuha.

Tambah Nuha, pihak pengurusannya juga ada perancangan untuk melancarkan projek kolaborasi sekali lagi dengan Melly untuk sebuah lagu baharu tidak lama lagi.

“Insya-Allah memang ada perancangan untuk bekerjasama lagi dengan Melly, kali ini mungkin dari segi ciptaan lagu dan lirik bersama,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN