fbpx
Ramai orang lebih suka menghabiskan masa dengan telefon masing-masing daripada bersosial. -Gambar hiasan

6 remaja terjerat setiap hari, jadi mangsa aplikasi dating

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Keterujaan untuk berkenalan dan mencari teman melalui aplikasi dating dan media sosial mendorong golongan muda termasuk kanak-kanak menjadi mangsa kepada jenayah seksual pihak tidak bertanggungjawab.

Lebih membimbangkan apabila rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 11,650 kes berkaitan jenayah itu telah dilaporkan dalam tempoh lima tahun sejak 2018 hingga 2022.

Ini bermakna, secara purata sebanyak enam kes jenayah seksual yang berpunca daripada perkenalan di media sosial dan aplikasi dating dilaporkan kepada polis setiap hari.

Antara kes jenayah yang dilaporkan termasuklah jenayah rogol, menyebar dan menjual gambar atau bahan lucah, menghasilkan bahan pornografi dan mencabul.

Dua kesalahan tertinggi melibatkan kes rogol iaitu 4,283 diikuti amang seksual fizikal sebanyak 2,863 kes.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, kurangnya pemantauan ibu bapa menjadi faktor golongan muda termasuk kanak-kanak mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap gajet dan capaian internet.

“Kategori umur paling ramai menjadi mangsa adalah berusia 13 hingga 15 tahun, manakala purata umur suspek pula 18 tahun.

“PDRM pernah menerima mangsa yang paling muda iaitu berusia 10 tahun yang terjerat dengan aplikasi dating.

“Ini mungkin disebabkan mereka (kanak-kanak) tidak dapat menilai atau membezakan baik dan buruk sesuatu komunikasi apabila bersama ‘rakan baharu’ mereka,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Abd. Jalil, suspek yang berusia 18 tahun ke atas dikategorikan sebagai bijak ‘memancing’ dengan kata-kata manis dan memuji mangsa sebelum komunikasi bertukar kepada berunsur lucah dan seksual.

“Ini secara langsung membentuk keperibadian kanak-kanak untuk menurut arahan suspek sehingga mereka menjadi mang­sa penganiayaan seksual dan berkongsi gambar bogel.

“Kesudahannya begitu menyedihkan apabila platform media sosial dan aplikasi dating ini berakhir dengan hubungan seks.

“Apabila laporan diterima, siasatan dibuat mengikut rogol memandangkan mangsa di bawah umur. Dalam tempoh lima tahun, sebanyak 4,283 kes rogol membabitkan perkenalan di media sosial dilaporkan,” jelasnya.

Jelas Abd. Jalil, setakat ini siasatan mendapati penjenayah seksual yang menggunakan media sosial atau aplikasi dating bertindak secara individu de­ngan mengambil kesempatan ke atas mangsa terutamanya kanak-kanak yang mudah diperdaya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat pedofilia atau mereka yang mempunyai kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak menggunakan media sosial sebagai medium untuk mencari mangsa walaupun jumlahnya kecil.

Tambahnya, PDRM tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengawal sesuatu aplikasi, namun boleh bertindak memaklumkan kepada pentadbir aplikasi atau media sosial terlibat sekiranya berlaku sebarang pe­langgaran terutamanya kesalahan jenayah.

“Saya ingin menasihatkan ibu bapa supaya lebih cakna dan meningkatkan pengetahuan tentang kaedah pemantauan aktiviti anak-anak di alam maya supaya dapat mengesan risiko lebih awal,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN