fbpx

Aliah Qistina ditemui di Perak selepas 18 hari hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOOR FATIMAHTUL ZAHARAH Talib menunjukkan hebahan kehilangan anaknya ketika di temui di kediamannya di Taman Maju, Jasin, Melaka.

JASIN – Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak 18 Mac lalu, Aliah Qistina Budiyanto, 16, ditemukan selamat di Kampar, Perak, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, remaja itu ditemui kira-kira pukul 3.30 petang di pangsapuri rakan lelakinya berusia 20-an.

“Hasil soal siasat remaja tersebut mengaku secara suka rela mengikut rakannya itu dan tinggal bersamanya dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Lelaki terbabit yang berasal dari Kulim, Kedah turut membantu pihak polis untuk membawa gadis terbabit pulang ke Melaka, semalam,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, siasatan lanjut berhubung kes itu akan diteruskan bagi mengenal pasti sekiranya membabitkan unsur kesalahan lain.

“Polis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penyaluran maklumat untuk mengesan remaja berkenaan,”katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Aliah hilang sewaktu berada di rumahnya di Taman Maju di sini pada malam 17 Mac lalu.

Ibu remaja itu, Noor Fatimahtul Zaharah Talib, 40, berkata, anaknya keluar dari rumah tanpa membawa telefon, dompet, kad pengenalan dan memakai selipar atau pun kasut.

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjejakinya seperti membuat hebahan di aplikasi WhatsApp, laman sosial Facebook serta menampal poster di setiap stesen minyak dan kedai serbaneka di sekitar pekan Jasin.

“Sebelum dia hilang, saya ada menegurnya kerana menggunakan telefon bimbit terlalu lama. Dia bersikap agresif dan meninggikan suara, namun memohon maaf selepas itu.

“Apabila terbangun dari tidur, saya terkejut melihat pintu dapur terbuka luas dan pintu hadapan tidak berkunci. Saya tinjau keliling rumah dan mendapati anak saya tidak ada di bilik tidurnya selepas puas dipanggil berkali-kali,” ujarnya.

Bimbang dengan keadaan itu, dia dan suami keluar mencari Aliah Qistina di sekitar Taman Maju tetapi gagal menemuinya termasuk menghubungi rakan sekolahnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI