PETALING JAYA – Mahu meringankan beban keluarga dan tidak bergantung sepenuhnya dengan wang pinjaman pendidikan antara punca sebahagian pelajar institusi pengajian tinggi melakukan kerja sambilan.
Seorang pelajar, Nur Azlina Md Jussoff, 22, berkata, dia selesa memilih untuk berdikari dan mencari sumber pendapatan sendiri dengan bekerja secara sambilan di sebuah restoran makanan segera pada waktu malam selepas tamat kuliah.
Mengakui ia bukan satu tugas yang mudah, penuntut Ijazah Sarjana Muda Media dan Komunikasi universiti awam itu bersyukur dan gembira kerana dapat meringankan beban kedua-dua ibu bapanya selain menyimpan bagi kegunaan pada waktu kecemasan.
“Tidak dinafikan memang rasa agak terbeban, namun saya tiada pilihan lain untuk mendapatkan wang lebih memandangkan kos sara hidup meningkat ketika ini.
“Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memang tidak mencukupi kerana wang itu saya peruntukkan untuk membeli buku-buku dan bahan pembelajaran lain.
“Jadi untuk tampung duit makan dan perbelanjaan diri sendiri saya perlu bekerja. Bagi saya, cukuplah ibu bapa berhabis wang simpanan mereka ketika saya mendaftar masuk universiti dulu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Nur Azlina, dia memperuntukkan empat jam pada hari biasa dan lapan jam pada hujung minggu untuk bekerja sebagai pelayan di restoran makanan segera dengan pendapatan RM1,200 sebulan.
“Wang gaji itu cukup untuk tampung belanja selain simpanan untuk kecemasan. Ada masanya saya juga berkongsi rezeki dengan adik bongsu yang masih belajar,” ujarnya.
Seorang lagi pelajar, Mohammad Azli Khairuzzaman Mohd. Alias, 20, mengakui dia pernah beberapa kali terlepas sesi kuliah akibat tersangkut dalam perjalanan ketika keluar melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan.
“Apabila kelas bermula pukul 2 petang, sebelah pagi saya buat kerja sambilan. Kadang-kadang terlambat jika hujan atau lama menunggu pesanan.
“Saya pernah menerima surat daripada fakulti, tapi saya akan menjelaskan hal yang sebenar dan mereka faham,” kongsi penuntut tahun akhir Diploma Seni Bina itu.
Mohammad Azli berkata, dia berasal daripada keluarga susah dan segala keperluan pengajian perlu ditanggung sendiri sejak di bangku sekolah lagi.
“Sejak sekolah menengah, saya cari duit sendiri untuk bayar yuran belajar. Ayah penoreh getah, ibu pula suri rumah dan kami mempunyai ramai adik-beradik. Sebagai anak sulung menjadi tanggungjawab untuk bantu keluarga.
Sementara itu, Nur Adiba Zafira Mohd. Fadzli memberitahu, desakan hidup ketika ini memerlukan dia membuat kerja sambilan sewaktu cuti semester.
“Duit gaji itu akan digunakan untuk membeli buku dan makanan. Memandangkan saya tinggal di luar kampus, saya memerlukan kenderaan sendiri,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Sinematografi Perfileman itu.
Tambahnya, antara rakan-rakannya melakukan kerja sambilan kerana ia satu keperluan ketika ini terutama mereka daripada keluarga susah.














