fbpx

Anak Hamzah Zainuddin didakwa kemuka dokumen palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Faisal Hamzah (baju kameja putih) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan hari ini. Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/ KOSMO!

SEREMBAN – Anak bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Faisal Hamzah, 39, yang ketika kejadian merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazni Nawi.

Seorang lagi tertuduh, Azizul Abdul Halim, 55, yang juga pengarah syarikat sama ketika kejadian turut berdepan tuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. sebagai pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak telah memberikan maklumat palsu dalam Borang Arahan Mengemukakan Dokumen atau Maklumat Berada Dalam Simpanan Berkaitan Barang Kawalan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung dokumen atau invois penjualan minyak masak kepada Pasar Segar Din Maju dan Warisan Hasil Alam.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang 5 petang di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Seremban 2 pada 12 Ogos 2022 dan kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 8 (4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen 22 (2) akta sama.

Kedua-dua tertuduh juga berdepan pertuduhan lain iaitu mereka selaku pemegang lesen borong juga telah didapati melanggar Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50.00 MT.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.15 malam di Premis Perniagaan Rimba Merpati Sdn. Bhd. di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang di sini pada 11 Ogos 2022.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Mohd. Sophian Zakaria tidak menawarkan jaminan tetapi memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan tinggi jika ia diberi kepada tertuduh dengan mengambil kira sembilan pertuduhan terhadap mereka.

Peguam Qurratu ‘Aini Zafirah Mat Shoib yang mewakili kedua-dua tertuduh dalam rayuannya berkata, mahkamah tidak sewajarnya terpengaruh dengan jumlah pertuduhan terhadap tertuduh yang belum lagi dibuktikan bersalah di mahkamah.

Mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 bagi setiap tertuduh dan kes akan disebut semula kes pada 7 Jun depan untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI