fbpx

Ada naratif cuba dimainkan berhubung tanah rizab Melayu di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Perdana Putra di sini tadi. Foto oleh FAISOL MUSTAPA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar,Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan wujudnya naratif cuba dimainkan pihak pembangkang di Parlimen berhubung isu keluasan tanah rizab kaum Melayu di Kedah ketika ini.

Nik Nazmi berkata, sejak awal lagi, pembangkang cuba menceritakan naratif bagi membawa sentimen tanah rizab Melayu semakin berkurang.

“Saya ingin tegaskan, sebenarnya dari awal lagi ada naratif mereka cuba mainkan sebab kalau kita tengok soalan pertanyaan di Parlimen, mereka tulis dalam kurungan tanah rizab Melayu semakin berkurang kerana mahu mainkan sentimen itu.

“Apabila saya jawab secara keseluruhan tanah rizab Melayu meningkat, Yang Berhormat Maran bangun dan kata hak Melayu terancam.

“Jadi, ia adalah skrip dan apabila skrip itu tidak boleh diselarikan dalam naratif mereka mainkan, maka terperangkap sendiri sebab negeri paling ketara hilang tanah rizab Melayu dalam tempoh 2021 dan 2022 ialah Kedah,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Perdana Putra di sini tadi.

Nik Nazmi berkata demikian sebagai memberi penjelasan tambahan berhubung isu tanah rizab Melayu di Kedah yang dilihat menjadi polemik selepas dibangkitkan oleh pihak pembangkang.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan Nik Nazmi di Parlimen bahawa tanah rizab Melayu di negeri itu menyusut.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, jawapan diberikan mengenai tanah rizab Melayu diperoleh daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).

“Mereka yang kumpul data tanah rizab Melayu setiap tahun daripada pentadbir tanah negeri dan saya juga tunjukkan surat terakhir yang dihantar Kedah bertarikh 30 November 2022 yang mana jumlah tanah rizab disebut sama dengan jawapan di Parlimen.

“Jadi, dakwaan peringkat negeri Kedah ialah ada penambahan selepas itu iaitu pada 2023, jadi data itu tidak sampai kepada peringkat kerajaan Persekutuan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI