KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kawalan produk merokok termasuk rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik akan dibentangkan pada sidang Parlimen Mei 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, beliau memohon maaf di atas kelewatan pembentangan RUU tersebut disebabkan ramai Ahli Parlimen meminta beberapa peruntukan di dalamnya, dikaji semula.
“Adakah kerajaan bertegas akan perkenalkan undang-undang berkenaan, saya jawab ya. Keputusan kita jelas akan perkenalkan.
“Kelewatan (pembentangan) saya mohon maaf kerana ramai Ahli Parlimen minta dikaji semula beberapa peruntukan, bukan bermaksud menolak sama sekali,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) sama ada kerajaan boleh memberikan komitmen RUU berkenaan akan diluluskan pada Mei 2023.
Menjawab soalan asal Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat, Anwar berkata, beliau mengumumkan tentang mengenakan duti eksais produk cecair mengandungi nikotin sebelum ini kerana vape digunakan secara meluas.
“Penggunaan vape saya secara peribadi, Kementerian Kesihatan Malaysia dan doktor tidak menggalakan rokok atau vape, tetapi kerana terlalu meluas ia dikenakan cukai.
“Saya sependapat, malah kawasan rumah saya juga tidak boleh merokok sama sekali. Itu arahan isteri saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














