fbpx

Hanya dua inap dusun berdaftar di Batang Kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEJAK tragedi tanah runtuh di Batang Kali Disember tahun lalu, banyak pengusaha resort dan tapak perkhemahan terkena tempias kerana ramai pengunjung takut untuk menginap di situ.

PETALING JAYA – Hanya dua daripada 17 pengusaha inap dusun di Batang Kali, Selangor yang didapati beroperasi secara sah.

Ia selepas kedua-duanya mendapat kelulusan pelan kebenaran merancang bagi menjalankan pemajuan di kawasan terbabit dan diklasifikasikan sebagai premis yang beroperasi secara sah daripada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Yang Dipertua MPHS, Mohd. Hasry Nor Mohd. berkata, ke­semua 17 inap dusun di kawasan Batang Kali telah dimaklumkan keperluan untuk mengemukakan permohonan pelan pembangunan (Kebenaran Merancang, Pelan Bangunan dan Kejuruteraan) bagi memastikan aktiviti yang dijalankan selamat.

“Namun, setakat ini, hanya dua pengusaha telah mendapat kelulusan pelan tersebut.

“Bagi aktiviti tapak perkhemahan, MPHS telah menjalankan proses pendaftaran pengusaha tapak khemah dan proses untuk memberi kelulusan akan dibuat selepas Draf Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Pemba­ngunan Tapak Perkhemahan ­Negeri Selangor diluluskan pema­kaian oleh kerajaan negeri,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Isu tentang inap dusun, resort dan tapak perkhemahan perlu diuruskan secara sah mula timbul selepas tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm mengorbankan puluhan nyawa tiga bulan lalu.

Kosmo! kelmarin melaporkan, biarpun tragedi Batang Kali yang mengorbankan 31 mangsa telah berlalu lebih tiga bulan, namun bahana daripada malapetaka tanah runtuh itu masih terasa sehingga kini apabila ramai pe­ngunjung takut untuk menginap di kawasan tersebut.

Akibatnya, lebih 55 pengusaha resort dan tapak perkhemahan rugi hingga RM80,000 sejak tragedi di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands di sini berlaku pada 16 Disember tahun lalu.

Mohd. Hasry berkata, pihak MPHS tidak membuat sebarang penutupan kepada inap dusun atau tapak perkhemahan selagi tiada arahan daripada kerajaan negeri atau agensi berkaitan.
“Bagi tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, masih belum dibenarkan bero­perasi kerana sedang menunggu keputusan laporan forensik yang akan dikeluarkan Jabatan Kerja Raya,” ujarnya.

Berita berkaitan: ‘Kami rugi kerana tragedi Batang Kali’

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI