fbpx

MBSP labur RM5 juta bawa masuk skylift baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jagdeep Singh (Kiri) menunjukkan isyarat bagus ketika mencuba jentera skylift baharu milik MBSP di Bandar Perda, Bukit Mertajam hari ini. -Foto oleh ISWAN SHAFIQ ISA/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membelanjakan sehingga RM5.47 juta untuk membawa masuk enam kren pengangkat (skylift) baharu bagi tujuan penyelenggaraan landskap serta pengurusan bencana di daerah itu.

Lima daripada skylift tersebut diserahkan kepada Jabatan Landskap manakala baki satu lagi jentera yang berharga kira-kira RM913,000 setiap satu itu untuk kegunaan Jabatan Pengurusan Krisis di MBSP.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad berkata, ketika ini, pihaknya telah memiliki lapan unit skylift yang sama untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pokok serta bencana yang meliputi kawasan seluas 751 kilometer (km) persegi di Seberang Perai.

“Pembelian skylift terbaharu ini sebenarnya tepat pada masanya memandangkan cabaran dan keperluan terhadap penggunaan jentera tersebut kini semakin meningkat.

“Peningkatan itu agak ketara terutamanya dalam melancarkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pemangkasan ranting-ranting pokok, operasi penguatkuasaan serta kerja-kerja pembersihan ketika dan selepas bencana terutamanya banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penggunaan jentera skylift terkini itu yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo di Bandar Perda, Bukit Mertajam, di sini hari ini.

Dilengkapi dengan aspek keselamatan yang canggih iaitu sistem antipelanggaran sekali gus memudahkan jentera itu dikendalikan, skylift jenis Tadano yang dipasang pada lori Hino dari Jepun itu juga mampu mencapai ketinggian sehingga 22 meter.

Selain terlibat dengan kerja-kerja penyelenggaraan pokok serta bencana, jentera itu juga digunakan dalam operasi membuang sarang burung gagak, menanggalkan papan tanda yang tidak diluluskan, pemasangan bendera sempena bulan kemerdekaan dan lain-lain tugasan berkaitan.

Difahamkan, lapan skylift sedia ada yang berusia antara empat hingga 21 tahun milik MBSP itu masih diguna pakai untuk kerja-kerja lebih ringan sebagai langkah penjimatan buat masa ini.

Sementara itu, Jagdeep turut berharap agar penggunaan skylift baharu itu berupaya menjadikan operasi kerja di MBSP lebih lancar efisien pada masa depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI