fbpx

Tokun top jadi tarikan Pesta Durian Bukit Mertajam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azhar (duduk dua dari kanan) menunjukkan durian tokun top D220 ketika majlis prapelancaran Pesta Durian Bukit Mertajam di Green View Durian Orchard, Bukit Mertajam, hari ini.

SEBERANG PERAI – Durian tokun top D220 atau nama saintifiknya ‘durio zibethinus’ dijangka menjadi antara varieti raja buah yang bakal mencuri tumpuan pada Pesta Durian Bukit Mertajam 2023, bermula minggu depan.

Berasal dari kampung sekitar Cherok Tokun, durian itu dikenali kerana kulitnya yang hijau keperangan dan isi berwarna kuning lembut dengan tekstur serta kandungan krim yang sederhana.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad berkata, selain memperkenalkan varieti durian baharu itu, Pesta Durian Bukit Mertajam 2023 yang julung kalinya diadakan itu juga bertujuan membantu peniaga dan pekebun kecil memasar dan mempromosikan buah durian serta produk hiliran berasaskan raja buah tersebut.

“Pesta durian tersebut akan diadakan selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 Jun ini di Mydin Bukit Mertajam bermula dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.

“Selain pelbagai gerai menjual buah durian, aktiviti lain yang turut berlangsung sepanjang pesta berkenaan ialah deko memasak kuih-muih dan dodol berasaskan durian serta jualan barangan berasaskan durian dari FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan),” katanya ketika majlis prapelancaran pesta tersebut di Green View Durian Orchard, Bukit Mertajam.

Sementara itu, salah seorang daripada pemilik Green View Orchard, Zhang Pei Pei, berbesar hati apabila ladang duriannya terpilih untuk menjayakan majlis prapelancaran pesta itu.

“Untuk makluman, Greenview Orchard adalah ladang durian yang diwarisi daripada bapa mertua saya dan ladang ini kini telah berusia 50 tahun.

“Kami bangga kerana dapat meneruskan tradisi penanaman serta penjagaan durian di sini,” katanya yang telah menanam sehingga 120 pokok durian ketika ini dan meletakkan kod QR pada setiap pokok bagi memudahkan pemantauan dilakukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI