fbpx

‘Denda anak petik cili diperbesarkan, bawa ke mahkamah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARID menegaskan, tindakan dia mendenda Aurora kerana memetik cili jiran sekadar cara untuk mendidik anak-anaknya.

PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah Farid Kamil mendedahkan hanya mendapat kebenaran bertemu putera sulungnya disebabkan anak bongsunya, Nur Aurora didakwa isterinya masih trauma.

Katanya, Diana Danielle patut memperincikan perkataan trauma yang dimaksudkan itu selain tidak memperbesarkan tindakan yang dilakukan bertujuan mendidik anak-anak ke mahkamah.

Akui Farid, insiden tersebut berpunca daripada denda dikenakannya terhadap Nur Aurora yang memetik cili jiran tanpa kebenaran, namun tidak disenangi isterinya.

“Saya dapat surat peguam pihak sana kata saya tak dibenarkan jumpa anak di rumah. Saya cuma dapat jumpa Muhammad, Aurora tidak bersedia untuk jumpa kerana dikatakan masih trauma dengan insiden petik cili.

“Apa yang dimaksudkan adalah insiden petik cili dan Diana kena jelaskan betul-betul pada saya dan semua orang.

“Apa dosa besar saya buat? Jangan heret benda kecil seperti petik cili ke mahkamah (kerana) hanya akan mengambil masa dan kos yang sangat banyak.

“Cukuplah kesengsaraan yang saya alami sejak 2017. Sepatutnya, 2023 adalah tahun untuk kita memulakan kehidupan bersama semula,” katanya dalam program Melodi TV3, hari ini.

Semalam, pelakon Anwar: The Untold Story itu berkongsi video memperuntukkan masa bersama Muhammad, 10, di Masjid Negara selepas pernah memaklumkan hampir sebulan tidak dapat peluang tersebut.

Begitupun, tidak kelihatan kelibat anak perempuannya yang berusia lapan tahun itu keluar bersama.

Dalam program sama, aktor berusia 42 tahun itu bagaimanapun tetap menzahirkan rasa syukur akhirnya dapat mengubat kerinduan yang sekian lama ditanggung biarpun terselit rasa terkilan.

“Alhamdulillah akhirnya dapat juga berjumpa anak saya walaupun seorang.

“Saya mengikut arahan peguam yang membenarkan saya datang mengambil anak-anak dan barang keperluan di rumah kelamin.

“Sudah tertera dalam surat yang menyatakan saya boleh masuk dan mengambil anak-anak. Saya masih tertanya-tanya kenapa tidak dapat berjumpa mereka, sudah tentu saya berasa sedikit kecewa,” luahnya.

Katanya lagi, surat daripada pihak peguam Diana itu dimaklumkan dia hanya dibenarkan berjumpa Muhammad.

Dedah Farid mengenai kejadian yang didakwa pihak sana sebagai pencetus trauma, denda dikenakan hanya untuk pengajaran supaya tidak mengulangi perbuatan salah dilakukan si kecil.

“Saya cakap pada Aurora ‘awak buat kerja salah, masuk rumah orang, ambil barang orang itu dianggap mencuri. Jangan buat perkara ini’.

“Saya tanya siapa ajar, dia jawab tiada siapa yang ajar. Saya pun denda dan tanya Aurora nak kena rotan atau berdiri di dinding?

“Dia pilih pergi ke dinding dan ketika menjalani denda tersebut, Diana sampai dan dia tidak puas hati dengan denda yang saya buat,” katanya.

Terdahulu, ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Pe­taling, Subang Bestari bagi sebutan pertama kes permohonan cerai Diana terhadap Farid pada 28 Mac lalu, pelakon itu memaklumkan Nur Aurora trauma tetapi tidak memperincikan dakwaan terbabit.

Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana sebelum itu menyatakan anak guamnya telah memperoleh hak penjagaan sementara (interim) bagi kedua-dua anak mereka.

Hak penjagaan berkenaan diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Zulfikri Ya­soa’, manakala permohonan hak penja­gaan penuh akan didengar pada 5 April ini.

Akberdin dalam kenyataannya bagaimanapun menjelaskan tiada halangan untuk Farid berjumpa anak-anaknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI