fbpx

Melaka sah bentuk kerajaan perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ab. Rauf

ALOR GAJAH – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengesahkan sebuah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan wakil daripada pelbagai parti akan ditubuhkan di bawah kepimpinannya.

Ab. Rauf secara tidak langsung memberi bayangan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di negeri ini yang akan diumumkan turut dianggotai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, kerajaan negeri baharu itu akan menjadi sebuah pentabiran yang kukuh dan stabil dengan membawa mandat kuat untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Ingin saya tegaskan, kerajaan baharu Negeri Melaka ini adalah sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dan ia adalah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil muafakat bersama antara parti-parti politik.

“Saya juga akan memastikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk adalah lebih inklusif dan mencerminkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya,” dalam satu hantaran di laman sosial Facebook rasminya.

Tambahnya, pihaknya akan merangka Pelan 100 Hari di bawah kerajaan baharu pimpinannya dalam memastikan lebih banyak pelaburan dan pekerjaan untuk Melaka.

Dalam pada itu, Ab. Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara memberitahu, pentadbirannya akan melaksanakan dasar pro perniagaan dan pro reformasi termasuk memastikan ekonomi negeri dipacu menerusi perancangan serta pembangunan yang mesra rakyat.

“Rakyat Melaka dahagakan pembangunan, mereka mahu melihat kemudahan hospital, kemudahan sekolah, peluang berniaga dan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.

“Melaka juga memerlukan infrastruktur, termasuk bekalan air, jalan raya dan digital, yang lebih baik,” katanya.

Semalam, Ab. Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, kira-kira pukul 3.33 petang.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Seri Utama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI