MANCHESTER – Penyerang prolifik Manchester City, Erling Haaland mungkin terlepas pertemuan getir menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Etihad malam ini.
Haaland, 23, masih belum menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukannya selepas terpaksa menarik diri daripada skuad Norway untuk aksi kelayakan Euro 2024 menentang Sepanyol dan Georgia.
Ia susulan kecederaan pangkal paha dialami Haaland ketika membantu City menang 6-0 ke atas Burnley pertengahan bulan lalu menyaksikannya meledak hatrik pada aksi suku akhir Piala FA itu.
Pengurus City, Pep Guardiola pastinya mengharapkan penyerang yang sudah menjaringkan 42 gol musim ini itu diturunkan menentang The Reds untuk mengejar Arsenal di tangga teratas EPL.
Bagaimanapun, bapa Haaland, Alfie merasakan anaknya itu tidak berada pada tahap kecergasan terbaik untuk bermain aksi berintensiti tinggi menentang pasukan seperti Liverpool.
“Anda tidak boleh terus bermain tanpa berlatih selama dua minggu. Mereka mungkin boleh mengambil risiko, tetapi jika dia tiada latihan sesuai, maka dia tidak akan bermain,” katanya.
The Citizens sedar aksi menentang Liverpool merupakan misi wajib menang kerana kekalahan dilihat boleh menutup peluang mereka mempertahankan kejuaraan EPL.
Ketiadaan Haaland mungkin melegakan Liverpool yang juga perlu mencatat kemenangan untuk kembali berada dalam kelompok empat teratas dengan saingan cuma berbaki 12 perlawanan lagi selepas itu.
– AGENSI