fbpx

Mahkamah: Kekal hukuman penjara, Najib gagal peroleh kebenaran semak hukuman SRC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib ketika hadir di Mahkamah Persekutuan hari ini. -Foto FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam permohonannya di Mahkamah Persekutuan di sini bagi mendapatkan kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dihadapinya.

Keputusan itu dibuat dengan majoriti 4-1 apabila empat panel Hakim iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Datuk Nordin Hassan selain Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais yang menolak permohonan Najib.

Bagaimanapun ketua panel hakim tersebut Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang keputusan tersebut. Pada ketika ini, Hakim Abdul Rahman sedang membacakan penghakiman menentang keputusan itu.

Berikutan keputusan itu, Najib kekal dipenjara yang mana pilihan terakhirnya untuk dibebaskan ialah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Untuk rekod prosiding pendengaran bagi rayuan kebenaran semakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu berlangsung selama enam hari bermula 19 Januari lalu dengan Najib hadir pada setiap prosiding.

Sebelum ini Najib sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September 2022.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda terhadap tujuh pertuduhan.

Dalam permohonannya, Najib memohon kebenaran menyemak dan membatalkan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos 2022 agar rayuannya didengar semula.

Menurut afidavitnya, Najib memohon rayuan akhir berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim atau korum yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Selain itu, Najib juga memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman dan kes penyelewengan dana SRC International dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain.

Beliau yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang itu turut memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan berkenaan.

Sebelum ini, Najib juga melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD).

Petisyen itu difailkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva melalui penghujahan digital dan beliau memohon pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan melibatkan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta dikenakan denda berjumlah RM210 juta.

Sabitan dan hukuman terhadap Najib kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI