fbpx

Pesona gaya klasik, moden bagi meraikan lebaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara seleksi Zalia dan Lubna yang boleh dipakai wanita pelbagai saiz dengan tarikan teristimewa busana kebaya berperincian juraian.

MENJELANG sambutan Hari Raya Aidilfitri, pertunjukan fesyen bertemakan busana hari raya adalah antara acara yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia.

Pertunjukan fesyen membolehkan pelanggan melihat sendiri koleksi baju raya yang dijual di pasaran serta mendapatkan idea penggayaannya, sesuai dengan cita rasa.

Jenama pakar fesyen Asia, Zalora baru-baru ini menganjurkan peragaan fesyen busana Aidilfitri bertajuk The House of ZALORAYA yang menampilkan dua label pakaian lelaki dan wanita di bawah syarikat tersebut iaitu Zalia dan Lubna, selain pertunjukan fesyen daripada pereka-pereka lain tanah air seperti Maslea, Yadotsa, Syomirizwa Gupta, TAS by Tom Abang Saufi, Alia B., Afiq M dan NH by Nurita Harith.

Acara dibahagikan kepada tiga slot berbeza yang mana kesemua rekaan yang dipamerkan menonjolkan estetika fesyen tersendiri.

Menurut Ketua Pegawai Hasil dan Pemasaran Zalora Asia Tenggara, Achint Setia, penganjuran pertunjukan fesyen bertemakan Aidilfitri itu sebagai menunjukkan sokongan terhadap budaya di Malaysia.

“Semangat yang ditunjukkan oleh pelanggan ketika musim perayaan sebegini adalah penting buat kami untuk menambah baik lagi pilihan jenama di bawah Zalora.

“Kami menjalin kerjasama bersama beberapa jenama fesyen terkemuka di negara ini dan setiap kali kami mengadakan pertunjukan fesyen Aidilfitri, kami akan mendapat banyak respons positif daripada pelanggan yang mengakui amat sukakan seleksi pakaian yang dijual meliputi gaya, jenis fabrik dan sebagainya, menjadikan acara ini sebagai acara yang amat dinanti-nantikan Zalora setiap tahun,” ujarnya kepada Stailo.

Bercerita tentang konsep rekaan yang dipamerkan tahun ini, pereka label Zalia, Safira Syukri berkata, rekaan Aidilfitri Zalia kali ini bertemakan nostalgia lebaran.

Seleksi busana yang dipamerkan cukup mengimbau kenangan beraya di kampung halaman bersama nenek dan datuk, dengan menggayakan pakaian seperti baju kurung Kedah atau baju kebarung dengan potongan klasik.

“Biarpun berkonsepkan klasik atau imbauan nostalgia, namun kami tetap menyelitkan unsur moden pada sesetengah busana bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan,” ujarnya.

Koleksi Lubna diinspirasikan daripada lagu-lagu raya malar segar bergenre pop.

Zalia menampilkan lebih 300 rekaan yang boleh dipilih meliputi pakaian wanita dan lelaki dalam pelbagai pilihan warna yang menarik.

Tarikan lain pada jenama itu juga terletak pada pemilihan fabrik yang selesa seperti kain kapas, khususnya bagi rangkaian Zalia Basics dan juga harga yang mampu milik.

“Kesemua rekaan kami dijual pada harga antara RM179 sehingga RM359 dan sudah mula dijual di platform Zalora,” ujarnya sambil menambah rekaan Fringed Kebaya Set iaitu baju kebaya dengan perincian juraian pada bahagian pinggang merupakan rekaan paling disukainya bagi koleksi kali ini.

Bagi Belle Annuar yang merupakan pereka muda bagi jenama Lubna pula, koleksi Lubna tahun ini yang diberi nama Lubna Rona Raya diinspirasikan daripada lagu-lagu raya evergreen bergenre pop.

“Jika dilihat, corak yang ada pada busana Lubna tahun ini adalah daripada rona-rona retro dan pop.

“Selain itu, koleksi tahun ini turut bertemakan perkahwinan.

“Ini kerana, kita sedia maklum bahawa ramai yang mengambil peluang untuk mendirikan rumah tangga selepas raya dan untuk itu, kami turut menghasilkan busana yang boleh dipakai semasa sambutan Aidilfitri, namun dalam masa yang sama turut sesuai dipakai untuk kenduri perkahwinan,” ujarnya.

Selain menyediakan pakaian untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak-kanak, tarikan lain pada Lubna ialah label tersebut juga bersifat inklusif dengan menghasilkan busana bersaiz besar buat wanita golongan ‘plus size’.

Mempertaruhkan lebih 200 rekaan yang terdiri daripada pelbagai rona dan fabrik selesa, Belle berkata, dia yakin pelanggan akan menjumpai satu busana yang sesuai dengan cita rasa mereka bagi koleksi kali ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI