fbpx

Siasatan insiden tangkapan anjing liar hampir lengkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar lelaki berkenaan cuba menghalang pihak MBPJ daripada menangkap anjing-anjing liar pada Rabu lalu.

PETALING JAYA -Polis memanggil sembilan individu bagi membantu siasatan berhubung kes orang awam menghalang anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semasa menangkap operasi anjing liar sehingga berlakunya pergelutan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah memanggil sembilan saksi secara keseluruhannya.

“Kesemua mereka dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan kes ini termasuk orang awam yang melihat kejadian.

“Kita dalam proses melengkapkan siasatan dan akan dimajukan kepada pejabat pendakwa raya dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ditanya mengenai mengenakan pertuduhan kepada salah seorang atau kedua-dua pihak yang terlibat di dalam kes tersebut, Mohamad Fakhrudin berkata, pihak polis tidak dapat mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan ketika ini.

Semalam, Kosmo! melaporkan polis telah merakam keterangan penguat kuasa dan lelaki menghalang tangkapan anjing liar bagi membantu siasatan kejadian tular ketika Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) membuat operasi penangkapan anjing liar.

Pihaknya telah memanggil beberapa individu berhubung kejadian itu termasuk orang awam yang menjadi saksi kejadian.

Terdahulu, Mohamad Fakhrudin dipetik berkata, pihaknya menerima laporan berhubung rakaman video tular penangkapan anjing-anjing liar oleh pihak MBPJ sekitar pukul 10 pagi, kelmarin.

Jelasnya, sewaktu operasi penangkapan dijalankan, terdapat seorang lelaki tempatan cuba melindungi anjing-anjing liar dengan memasukkan haiwan tersebut dalam premisnya.

Tambahnya, pengadu dan pasukan cuba menghalang lelaki tempatan tersebut daripada menutup pintu premis supaya operasi penangkapan anjing-anjing liar boleh dilaksanakan.

Susulan pasukan operasi gagal melaksanakan tugas penangkapan, berlaku pergelutan di antara pasukan dengan lelaki tersebut sehingga menyebabkan dia terkena batang rod menangkap anjing.

Menurut Fakhrudin, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI