fbpx

Nur Azlina cemerlang akademik, sahsiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Azlina berpesan kepada rakan-rakan serta mereka yang sedang berjuang di medan ilmu agar tidak mudah berputus asa bagi meraih kejayaan.

“KEHIDUPAN di universiti memberi peluang kepada saya untuk mendewasakan diri dengan pengalaman dan ilmu pengetahuan.”

Demikian ungkapan Pemenang Anugerah Pingat Emas Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Azlina Adris semasa menyampaikan ucapannya di majlis Penganugerahan Pingat Emas Utama sempena Upacara Konvokesyen USM ke-59 pada tahun lalu.

Nur Azlina yang turut menerima Pingat Emas USM bagi Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Forensik) pelajar tahun akhir merupakan siswi yang sangat aktif sepanjang berada di Kampus Kesihatan USM.

Menurutnya, bermula dengan hanya menjadi ahli jawatankuasa program, dia memberanikan diri terlibat dalam bidang kesukarelawanan dan kepimpinan.

“Dari situ, saya belajar cara-cara menguruskan organisasi dan mengaplikasi pengalaman diperoleh untuk membentuk diri menjadi seorang pemimpin.

“Berkat tunjuk ajar pelbagai pihak, saya berpeluang menjawat pelbagai jawatan dalam setiap aktiviti yang diadakan. Ini secara tidak langsung menjadikan saya seorang individu yang lebih berkeyakinan,” katanya.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, dia mendapat banyak ilmu dan pengetahuan baharu selepas aktif menyertai pelbagai aktiviti sama ada di dalam mahupun luar kampus.

NUR AZLINA (tengah) membuktikan bahawa penglibatan aktif dalam aktiviti luar kuliah tidak menghalangnya meraih kecemerlangan akademik.

Berkongsi sedikit pengalaman, Nur Azlina memberitahu, dia pernah dilantik sebagai Pengerusi Kampus bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan selama dua sesi akademik berturut-turut.

“Semasa saya memegang jawatan tersebut pada tahun 2020, wabak maut Covid-19 menular sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.

“Ketika itu, saya mengambil keputusan untuk terus berada di kampus bagi membantu pihak pengurusan universiti menjaga hal ehwal kebajikan pelajar.

“Dalam tempoh itu juga, banyak perkara baharu yang saya pelajari termasuk menyediakan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan di Hospital USM.

“Pasa masa sama, saya terlibat menguruskan bantuan, menjaga kebajikan, keselamatan dan kesihatan para pelajar,” katanya.

NUR AZLINA (kiri) menunjukkan Pingat Emas Naib Canselor yang diraihnya pada Upacara Konvokesyen USM tahun lalu.

Selepas berjaya menamatkan pengajian dengan memperolehi Ijazah Kelas Pertama, Nur Azlina menganggap anugerah yang diterimanya itu sebagai pengiktirafan kepada kepimpinan mahasiswa khususnya MPP.

“Saya berharap anugerah ini akan menjadi dorongan kepada barisan MPP untuk terus memainkan peranan penting dalam hal kebajikan pelajar.

“Pada masa sama, ia berperanan membentuk satu jenama kepimpinan yang berkesan dan menggambarkan kehebatan pelajar USM sebagai pemimpin masa hadapan,” katanya.

Nur Azlina kini sedang dalam pengajian di peringkat sarjana dalam bidang sama.

Bercerita mengenai caranya membahagikan masa antara pengajian dan aktiviti yang disertai, anak jati kelahiran Melaka itu berkata, dia mempunyai resipi tersendiri.

“Kita perlu pandai mengimbangi antara cita-cita dan minat. Kita juga kena bijak membahagikan masa menerusi perancangan yang betul.

“Kejayaan dalam akademik perlu seiring dengan keterampilan diri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan di lapangan kerjaya kelak,” ujarnya.

Nur Azlina turut berpesan kepada rakan-rakan serta mereka yang sedang berjuang di medan ilmu agar tidak mudah berputus asa bagi meraih kejayaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI