fbpx

Jurutera melayang lebih RM250,000 diperdaya Aminah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Dua jurutera terpaksa ‘berputih mata’ selepas kerugian lebih RM250,000 gara-gara terpedaya dengan sindiket penipuan atau scammer dalam dua kes berasingan di daerah ini pada Rabu dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kes pertama melibatkan seorang mangsa berusia 41 tahun yang mendakwa telah ditipu dalam kes tawaran kerja yang tidak wujud.

Menurutnya, terdahulu, mangsa dikatakan telah melihat tawaran kerja sebagai petugas kemasukan data secara sambilan melalui satu iklan dalam Facebook sebelum menghubungi ejen syarikat terbabit yang dikenali sebagai Aminah menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, mangsa kemudian ‘diumpan’ sebanyak RM10 untuk setiap tugasan yang diberi dan dijanjikan komisyen sebanyak 20 peratus apabila membuat transaksi pindahan wang seperti diarahkan.

“Disebabkan percaya dengan janji tersebut, mangsa iaitu antara 18 hingga 22 Mac yang lalu telah membuat transaksi atau pindahan wang ke tujuh akaun berbeza sehingga berjumlah RM126,000.

“Namun, apabila tiada sebarang komisyen dibayar seperti dijanjikan, mangsa akhirnya menyedari telah ditipu dan terus membuat laporan polis mengenai penipuan berkenaan,”katanya kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu katanya, seorang lagi mangsa yang juga bekerja sebagai jurutera mendakwa diperdaya oleh satu penipuan cabutan bertuah tidak wujud yang menawarkan hadiah sebanyak RM326,000.

Cheng San berkata, mangsa yang berusia 27 tahun sebelum itu telah menerima satu panggilan telefon daripada sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong yang memintanya membuat tekaan lagu untuk menyertai cabutan bertuah berkenaan.

Jelasnya, mangsa sekali lagi dihubungi tidak lama kemudian dan diberitahu telah memenangi cabutan bertuah tersebut, namun, perlu melakukan pembayaran ke tiga akaun berbeza untuk tujuan proses pendaftaran akaun, kemasukan wang dalam negara dan sebagainya.

“Mangsa seterusnya memasukkan wang secara berperingkat-peringkat hingga berjumlah RM125,600 dan menyedari dirinya ditipu selepas suspek dikatakan meminta wang tambahan sebanyak RM50,000 lagi,” katanya yang memberitahu, satu laporan kemudian dibuat berhubung kes tersebut.

Ujar Cheng San, ketika ini, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun selain dikenakan sebatan atau denda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI