KUALA LUMPUR- Syarikat pelincir automotif terkemuka negara, Castrol menganjurkan kempen ‘Castrol Hari Mekanik Malaysia’ yang kelima pada 18 Mac lalu bagi meraikan wira-wira tersembunyi khususnya pakar automobil.
Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia dan Singapura, Keow Mei-Shan berkata, kempen berkenaan bertujuan memberi penghargaan dan meningkatkan kesedaran terhadap wira-wira tanpa tanda jasa yang terdiri daripada pakar automobil.
Menurutnya, kempen berkenaan dimulakan dengan sebuah video unik bertajuk ‘Sebuah Dunia Tanpa Mekanik’ yang dilancarkan pada 1 Mac dan telah ditayangkan di platform media sosial YouTube dan Facebook.
“Dengan nilai dan kepentingan mekanik, kami bekerja keras untuk meningkatkan kesedaran dalam meraikan perkhidmatan mereka kepada kita setiap hari.
“Justeru, kempen ini adalah untuk menunjukkan penghargaan serta menyokong peranan penting yang dimainkan oleh mereka dalam memastikan pengguna jalan raya sentiasa selamat dengan memberikan perkhidmatan terbaik apabila diperlukan.
“Mekanik adalah wira tanpa tanda jasa dalam masyarakat moden kita hari ini dan Castrol mengiktiraf perkhidmatan yang diberikan oleh mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua mekanik daripada tiga bengkel terbaik, yang dibahagikan mengikut bahagian (bahagian Utara, bahagian Tengah, bahagian Selatan, bahagian Pantai Timur dan bahagian Timur tanah air), dengan jumlah jualan tertinggi semasa pertandingan ini akan memenangi Xiaomi Redmi Note 11 Pro 6.67 inci (128GB) bernilai RM1,149.
Tambahanya, tiga bengkel terbaik daripada setiap bahagian itu juga akan dikreditkan dengan 8,000 Mata EZ Rewards bernilai RM800, yang boleh digunakan untuk menebus pelbagai ganjaran melalui platform EZ Rewards.
“Kita turut merealisasikan impian dua pengguna susulan daripada pertandingan ‘Castrol Game Changers’ yang dianjurkan dengan kerjasama ‘Premier League’ yang mana pemenang-pemenang bertuah itu telah diiringi ke London untuk menyaksikan perlawanan Tottenham Hotspurs menentang Chelsea di Stadium Tottenham Hotspurs pada Februari lalu.
“Mereka diberi peluang untuk mengalami layanan eksklusif bertaraf dunia yang ditawarkan oleh Stadium Tottenham Hotspurs dan meluangkan masa beramah-mesra dengan legenda Spurs, Michael Dawson,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, Castrol juga akan menganjurkan ‘Pertandingan Mekanik Castrol’, menyasarkan mekanik dan bengkel Castrol Auto Servis, bermula 1 April ini.
“Ia bertujuan memberikan ganjaran dan penghargaan kepada mekanik tempatan. Semua penyertaan boleh diserahkan melalui Aplikasi Motorist, aplikasi eksklusif yang disediakan khusus untuk semua bengkel Castrol Auto Servis.
“Selain itu, Castrol melancarkan ‘limited edition packaging’ untuk Castrol EDGE 5W-40 yang menampilkan empat pemain bintang Liga Perdana, David De Gea daripada Manchester United, Jesse Lingard daripada Nottingham Forest, Michail Antonio daripada West Ham dan Son Heung Min daripada Tottenham Hotspurs,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE