PETALING JAYA – Dianggarkan kira-kira lima juta rakyat membelanjakan antara RM500 juta hingga RM1 bilion bagi membeli pelbagai jenis mercun dan bunga api, demi menyemarakkan lagi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Trend perbelanjaan melampau pada musim perayaan itu bukan sahaja membimbangkan, malah mendorong kepada pembaziran kerana wang ‘dibakar’ hanya untuk hiburan bersifat sementara.
Antara bunga api paling laris ialah jenis ‘shoot cake’, dengan harga bermula RM20 untuk 16 das sehingga hampir RM1,000 bagi 238 das.
Ia mampu menghasilkan cahaya, corak bunga api dan dentuman yang memukau di udara, menjadikan langit malam Aidilfitri berseri-seri sehingga menarik perhatian ramai.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, secara purata, setiap orang membelanjakan antara RM100 hingga RM300 untuk membeli mercun dan bunga api.
Katanya, dengan mengandaikan kira-kira lima juta pengguna membeli mercun, jumlah keseluruhan perbelanjaan mencecah antara RM500 juta hingga RM1 bilion setiap kali musim Aidilfitri.
“Angka itu amat membimbangkan kerana ia dibelanjakan untuk sesuatu yang tidak memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, budaya berbelanja berlebihan bagi hiburan sementara itu tidak wajar, lebih-lebih lagi ketika umat Islam di Gaza dan beberapa negara lain berdepan krisis kemanusiaan.
Katanya, Aidilfitri sepatutnya diraikan secara sederhana, bukannya membazir.
“Jangan kita bakar wang untuk bunyi dan cahaya, sedangkan nilai itu mampu menjadi ‘talian hayat’ kepada ribuan keluarga yang sedang kelaparan,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah), Datin Aminah Zakaria menggesa rakyat menghentikan budaya membakar unga api setiap kali musim perayaan.
Menurutnya, trend berkenaan dilihat tidak wajar dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil ketika ini, selain bercanggah dengan nilai budaya Melayu Islam.
“Selain pembaziran, amalan ini juga bukan budaya Melayu Islam. Lebih menyedihkan apabila saudara Islam di tempat lain sedang mengharapkan bantuan dan ihsan, namun kita memilih untuk membakar wang demi hiburan sementara.
“Rakyat juga diseru mengamalkan budaya berjimat-cermat dan berhemah ketika musim perayaan serta mengutamakan golongan memerlukan daripada membazirkan wang untuk hiburan yang tidak kekal,” kata Aminah.
















