fbpx

Kucing dilapah, rumah penuh bangkai di kondo Bandar Permaisuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puluhan bangkai dipercayai bangkai kucing serta daging haiwan yang dikisar lumat ditemukan di sebuah kondominium pada 13 Mac lalu. FOTO Ihsan: Persatuan Haiwan Malaysia

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung penemuan bangkai kucing yang disimpan di sebuah kondominium di Bandar Permaisuri, Cheras, di sini, pada 11 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya sedang mengesan individu yang terlibat dalam kes terbabit.

“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan kita sedang mengesan suspek yang terbabit,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) menerusi laman Facebooknya telah mendedahkan penemuan puluhan bangkai yang dipercayai bangkai kucing disimpan di kondominium terbabit.

Menurut MAA, kegiatan individu yang membunuh dan mengerat haiwan itu terbongkar selepas pemilik rumah membuat pemeriksaan.

“Difahamkan, pemilik rumah berkenaan yang memeriksa rumahnya terkejut apabila menemui berpuluh rangka, organ dan bangkai kucing di dalam kediamannya.

“Terdapat anggota badan haiwan yang dikerat-kerat, selain daging dikisar lumat di dalam rumah disewanya itu. Seterusnya, terdapat satu bilik di kediaman itu turut dipenuhi bangkai haiwan disyaki kucing yang telah lama reput,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Katanya, pemilik rumah berkenaan telah tampil membuat laporan polis pada 13 Mac lalu seterusnya dipanjangkan kepada ketua seksyen Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya supaya siasatan dijalankan secara komprehensif, segera dan menyeluruh.

“Jika benar berlaku unsur kezaliman, MAA menuntut pelaku diheret ke mahkamah dan didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI