PERPISAHAN merupakan detik sedih yang tidak dimahukan oleh sesiapa dalam hidup ini.
Tidak kisahlah perpisahan disebabkan perpindahan, kematian atau mungkin perceraian dalam sesebuah perhubungan.
Itulah situasi yang terpaksa ditelan Ani (bukan nama sebenar) bersama bekas suaminya selepas hampir sedekad berkongsi hidup.
Membuka perkongsian, wanita berusia sekitar 45 tahun berasal dari Mersing, Johor itu berkata, dia mengenali suaminya, Rahim (bukan nama sebenar) menerusi ibu bapanya.
Ceritanya, Rahim yang 10 tahun lebih muda daripadanya diperkenalkan oleh kedua-dua orang tuanya dalam satu majlis kesyukuran.
Disebabkan Ani sudah menginjak usia 35 tahun pada ketika itu, dia bersetuju berkahwin dengan Rahim kerana masih belum menemui cinta sejati.
Untuk makluman, Rahim merupakan anak tunggal lelaki dalam keluarganya. Dia menjadi harapan sebagai penyambung keturunan keluarganya.
“Kami kenal pun tidak lama dan sempat beberapa kali keluar bersama. Kampung dia dengan saya pun tidaklah berapa jauh, lebih kurang sejam perjalanan.
“Waktu saya kenal suami, dia baru sahaja berusia 25 tahun. Beza umur kami berdua memang jauh kalau diikutkan.
“Tetapi kami berdua terima dan ikutkan sahaja kemahuan keluarga.
“Segala perancangan dilakukan tidak sampai enam bulan, kami pun dinikahkan dalam satu majlis sederhana yang dihadiri saudara-mara dan rakan taulan,” katanya membuka bicara.
Akui Ani, sewaktu berkahwin, dia tidak berapa mengenali Rahim termasuk pekerjaan dan latar belakang suaminya itu.
Ani yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik berkata, dia hanya mengetahui bahawa Rahim membantu keluarganya menguruskan kebun kelapa sawit.
Bercerita lanjut, Ani mengakui, tiga tahun pertama bersama sebagai suami isteri memberikan kebahagiaan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.
“Rahim ini pendiam dan tidak banyak bercakap atau mudah kata introvert. Namun, dia menerima saya seadanya.
“Kami menjalani kehidupan sebagai suami isteri dengan penuh sederhana.
“Kami juga sudah berpindah ke rumah sewa sendiri selepas setahun tinggal bersama di kediaman keluarganya.
“Bab makan minum, semuanya dipermudahkan Allah SWT. Keluarga kami juga baik dan saling menerima antara satu sama lain.
“Maklumlah, mereka yang mahu lihat kami disatukan,” tuturnya yang bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan.
Diam tidak diam, sudah hampir lima tahun Ani dan Rahim mendirikan rumah tangga.
Namun, zuriat yang diharapkan oleh mereka masih tidak kunjung tiba.
Ani memberitahu, disebabkan itu, layanan suami serta keluarga mentua mula berubah terhadap dirinya.
Menambah lagi beban, Ani berkata, suaminya mula menjadi ‘biawak hidup’.
Katanya, Rahim enggan keluar bekerja menguruskan ladang kelapa sawit milik keluarganya itu.
“Dia langsung tiada rasa bersalah. Sebulan dua saya masih boleh terima lagi.
“Saya fikir dia mahu berehat sebab penat urus ladang pusaka seorang diri.
“Namun, lama-kelamaan sifat malas Rahim semakin menjadi-jadi apabila dia sudah pandai minta duit daripada saya tanpa rasa malu.
“Suami yang tidak pernah merokok pun sudah ketagih rokok.
“Pada sebelah malam pula, dia sudah pandai melepak dengan bermain judi di warung bersama rakan.
“Tetapi perkara itu saya simpan kemas tanpa pengetahuan sesiapa.
“Paling saya tidak boleh terima apabila suami beritahu dia jadi malas kerana saya mandul dan tidak dapat beri zuriat kepadanya.
“Suami beritahu, sebagai anak lelaki tunggal, dia menjadi harapan penyambung keturunan keluarganya,” luahnya dalam nada sebak.
Hampir lima tahun membela ‘biawak hidup’ dan makan hati dengan perlakuan suaminya, Ani mula membuka cerita kepada pihak ketiga.
Ujar Ani, dia mengakui segala yang berlaku kepada Rahim mungkin disebabkan kekurang dirinya.
Disebabkan itu, Ani memohon kepada mahkamah syariah supaya Rahim melepaskannya dengan cara baik kerana tidak sanggup lagi hidup dengan ‘biawak hidup’.
Rahim yang tiada pilihan bersetuju melepaskan Ani.
Bagi Ani, apa yang berlaku biarlah berlalu. Jauh di sudut hatinya, dia masih sayangkan Rahim.














