fbpx

Makanan kucing halal makin popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adrian berhasrat untuk mengembangkan pasaran eksport bagi makanan kucing halal keluaran syarikat ke negara baharu seperti Vietnam setelah kerja naik taraf fasiliti pengeluarannya selesai.

PETALING JAYA – Produk makanan kucing halal kini dilihat semakin mendapat permintaan global, terutamanya daripada pasaran di rantau Asia Tenggara termasuk Filipina, Brunei dan Singapura.

Presiden Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi), Adrian Ros­lan berkata, ketika makanan kucing di pasaran tempatan tidak memerlukan sijil halal, produk makanan kucing daripada jenama Power Cat keluaran syarikat untuk pasaran eksport telah menerima pensijilan halal daripada Majlis Ulama Indonesia.

Jelasnya, kecuali makanan kucing, kesemua produk makanan keluarannya untuk pasaran eksport menggunakan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Pensijilan halal Jakim ini sememangnya diyakini di seluruh dunia dan kita patut berbangga apabila produk kita dapat menggunakan logo halal daripada Jakim. Proses untuk mendapatkannya pun bukan mudah.

“Kami ada menyatakan hasrat kepada Jakim supaya mewujudkan logo halal untuk makanan haiwan, namun kami faham bukan mudah untuk mewujudkan skop baharu dalam pensijilan halal.

“Pada masa sama, kami tidak melihat bahawa pihak Jakim memandang pensijilan halal bagi makanan haiwan ini adalah sesuatu yang tidak perlu,” katanya kepada pemberita sewaktu mengunjungi ibu pejabat Kosmo! di sini baru-baru ini.

Adrian menjelaskan, produk makanan kucing halal keluaran syarikat mendapat sambutan amat baik dari pasaran luar negara terutamanya Filipina, sehingga fasiliti pengeluaran syarikat yang bertempat di Rawang tidak memiliki keupayaan mencukupi untuk memenuhi permintaan dari sana.

Jelasnya, Adabi bagaimanapun telah pun memulakan kerja-kerja naik taraf fasiliti pengelua­ran makanan kucingnya termasuk melibatkan pembelian mesin baharu, yang dijangka selesai sekitar Jun ini.

“Adabi sebelum ini popular dengan produk serbuk kari, namun segmen ini sebenarnya telah jatuh ke tangga kedua dan digantikan dengan segmen makanan kucing yang kini menyumbang kira-kira 23 peratus daripada perolehan syarikat,” ujarnya.

Adrian menambah, terdapat pasaran besar bagi makanan kucing halal di negara ini dan berdasarkan tinjauan pasaran yang dilakukan pihaknya, keperluan pensijilan halal untuk makanan kucing sememangnya ada.

“Ramai umat Islam yang membela kucing dan masyarakat Melayu pun ramai yang begitu sensitif tentang isu halal ini.

“Ada pelanggan kami yang menyatakan mereka sedikit geli untuk memegang makanan haiwan yang tidak diketahui status halalnya sehingga ada yang mengenakan sarung tangan untuk mengendalikannya.

“Halal ini bukan sahaja melibatkan soal bersih, malah suci. Kini ramai yang berbelanja ba­nyak untuk penjagaan kucing peliharaan yang dianggap sebagai ahli keluarga sendiri dan mereka mahu memastikan makanan yang diberikan kepada haiwan kesayangan adalah dijamin kesuciannya,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI