AZAN maghrib yang memecah keheningan senja semalam menandakan detik permulaan pemburuan fadilat Ramadan, bulan yang membawa seribu rahmat.
Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW: “Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
Dengan itu, ganjaran pahala berlipat kali ganda dan keampunan Allah SWT terbuka luas bagi mukmin yang berusaha mencari keredaan-Nya sepanjang 30 hari tersebut.
Maka, tidak hairanlah sekiranya bulan penuh barakah ini menjadi medan buat umat Islam meningkatkan amalan.
Antara dua amalan yang cukup sinonim dan sangat menjadi keutamaan pada bulan Ramadan adalah bertadarus al-Quran dan memperbanyak sedekah. Pahala membaca al-Quran dan bersedekah dilipatgandakan pada bulan penuh barakah ini.
Ia terangkum dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abas RA: “Adalah Nabi seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Jibril bertemu dengan Nabi pada setiap malam bulan Ramadan untuk mengulang kaji al-Quran dan kemudiannya Rasulullah menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas.”
Bagi guru al-Quran, Ustaz Uwais Qorny Abdul Latif, 36, kehadiran Ramadan kali ini dimanfaatkan sebaiknya dengan menganjurkan program DailyQuran Tadarus.
Tadarus al-Quran, pada asasnya bermaksud membaca al-Quran di hadapan seseorang yang dapat mengawasi bacaan itu daripada sebarang kesilapan.
Program berkenaan bakal diadakan secara langsung di platform Zoom bersama 10 orang peserta.
Pada masa sama, DailyQuran Tadarus boleh ditonton umum secara percuma di platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Tik Tok.
DailyQuran Tadarus diadakan setiap hari bermula pada pukul 6.27 pagi sehingga pukul 9 pagi bermula 1 Ramadan sehingga 25 atau 26 Ramadan.
“Sebenarnya permintaan untuk saya menganjurkan tadarus pada bulan Ramadan telah lama wujud sejak kami mula mengajar al-Quran secara live di media sosial pada hujung 2018.
“Namun, bukan mudah sebenarnya melakukan tadarus beramai-ramai secara online sebegini,” katanya yang mempunyai pengikut 650,000 orang di media sosial kepada K2.

Uwais merupakan bekas penuntut tahfiz al-Quran dari Madrasatul Quran Kubang Bujuk, Terengganu dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Uwais juga telah mengembara ke pelosok dunia untuk berguru, mendalami ilmu tajwid dan qiraat daripada guru serta masyayikh al-Quran secara bersanad. Selain itu, dia juga telah mengikuti pelbagai kelas pengucapan awam dan mendapatkan bimbingan pakar bidang penyiaran bagi memastikan pengajian al-Quran dalam taliannya bersifat dua hala.
“Demi memastikan orang ramai terus berminat membaca al-Quran, saya perlu kekalkan pandangan mata saya kepada penonton walaupun mereka tidak berada di hadapan saya.
“Dengan itu, mereka akan berasa seperti saya mengajar mereka secara berdepan. Ini mampu membuatkan pembelajaran al-Quran lebih interaktif,” jelasnya.
Selain tadarus, bersedekah merupakan satu lagi amalan yang dijanjikan keuntungan besar dalam bulan Ramadan. Skop sedekah di bulan Ramadan tidak tertumpu kepada sumbangan wang semata-mata, bahkan meliputi amalan menyumbang bakti secara ikhlas tanpa mengharapkan pulangan melainkan fi sabilillah.
Untuk itu, badan bukan kerajaan (NGO), Islamic Relief Malaysia (IRM) merancang untuk giat melaksanakan aktiviti agihan pek makanan dalam skala besar pada bulan Ramadan ini.
Pegawai kanan bahagian penjanaan dana dan sukarelawan, Nur Thasra Abdul Rahman, 31, berkata, agihan pek makanan dalam skala besar itu melibatkan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Tidak hanya di peringkat tempatan, inisiatif agihan pek makanan itu juga sebenarnya merupakan inisiatif global yang telah dilakukan IRM selama hampir empat dekad bertujuan meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan juadah berbuka dan bersahur ketika bulan Ramadan.
“Setiap pek makanan mengandungi bekalan makanan ruji mengikut negara masing-masing. Untuk Malaysia, setiap kotak mengandungi makanan asas antaranya beras, tepung, minyak masak, bihun, sos, biskut, sardin, kicap, garam, gula, teh, kopi, malt coklat, kurma, santan kotak, kari ayam atau ikan dalam tin.
“Kriteria utama pemilihan penerima bantuan ialah golongan B40 dan ke bawah, termasuk ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), pesakit kronik dan keluarga dengan bilangan ahli yang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, IRM juga membuka peluang kepada orang ramai untuk merebut pahala Ramadan dengan melakukan kebaikan dengan menyumbang ke pelbagai saluran dana seperti Rezeki Ramadan, mySedekah, Rayuan Palestin dan Selamatkan Syria.
Tambahnya, antara aktiviti terbesar IRM juga ialah Ramadan Troopers yang dijalankan bersama sukarelawan-sukarelawan yang membantu memudahkan proses penyampaian sedekah, mengedar risalah kempen dan menjalankan aktiviti pengumpulan dana.
“Kesungguhan para sukarelawan sememangnya wajar dipuji kerana mereka tidak mendapat sebarang imbuhan, namun dedikasi mereka tidak berbelah bagi,” katanya.














