fbpx

Terkilan Jannatun Assyifa tak sempat pakai baju raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Muhammad Jamathir bersama anaknya Jannatun Assyifa (depan, kiri) yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan treler di Kampung Telok Gong, Klang pagi tadi.

KLANG – Bapa murid perempuan berusia sembilan tahun yang maut dalam kemalangan akibat digilis treler pagi tadi terkilan kerana anaknya tidak sempat memakai baju kurung baharu yang dibelinya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Muhammad Jamathir Ahmad Nordin, 32, berkata, dia membeli baju raya sedondon untuk Allahyarhamah Nurul Jannatun Assyifa isteri serta dua orang anaknya secara dalam talian

“Baju tersebut baru sahaja kami terima beberapa hari lalu dan Jannatun Assyifa sangat gembira dapat baju raya itu. Tapi apa boleh buat, Allah lebih sayangkan Jannatun Assyifa dan ambilnya dari kami terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Menurutnya, Jannatun Assyifa dan anak bongsunya, Alif Zahfran Muhammad Jamathir, 7, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Telok Gong selepas selesai sesi persekolahan agama di Sekolah Rendah Agama (SRA) Telok Gong.

Kata Muhammad Jamathir, mereka telah diambil oleh jiran yang diupahnya untuk menghantar dan mengambil mereka dari SRA.

“Saya dapat khabar kemalangan ini dari isteri, Rubyiatul Adawiyah Mat Ros, 28 pagi tadi. Sebaik sahaja terima berita itu, saya terus ke lokasi kejadian dan tiba di sana kira-kira pukul 11.35 pagi,” katanya dengan nada tenang.

Ditanya keadaan terkini Alif Zahfran, kata Muhammad Jamathir, anak bongsunya kini dalam keadaan stabil, namun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan akan menjalani pembedahan pada bila-bila masa.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang murid perempuan maut akibat digilis treler manakala adiknya dan pengasuh wanita cedera dalam kemalangan di Kampung Telok Gong, pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI