fbpx

Mohammad dilantik Panglima Tentera Darat ke-29 hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zamrose (kiri) dan Mohammad (kanan) dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas PTD Ke-29, di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke-29 berkuat kuasa hari ini.

PTD ke-28, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain telah menyerahkan tampuk kepimpinan tertinggi Tentera Darat Malaysia sebelum bercuti bermula esok.

Zamrose kemudiannya akan menamatkan perkhidmatannya pada 21 September depan selepas hampir 43 tahun berkhidmat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, Zamrose telah berjaya membawa Tentera Darat ke satu aras yang tinggi sebagai sebuah angkatan yang dipercayai rakyat untuk memelihara keamanan dan kedaulatan negara.

“Atas kegigihan usaha beliau, Tentera Darat telah dapat meningkatkan kesiagaannya melalui perolehan aset-aset baru untuk melaksanakan peranan dengan lebih meluas dan berkesan.

“Kementerian Pertahanan amat menghargai pengorbanan yang telah beliau curahkan sepanjang 43 tahun berkhidmat dalam Tentera Darat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas PTD Ke-29, di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohammad atas kenaikan pangkat dan pelantikan sebagai PTD yang baharu.

“Dengan pengalaman luas yang dimiliki serta daya kepimpinan yang tinggi, saya yakin Mohammad berupaya menerajui Tentera Darat dengan baik dan membawa ketumbukan ini ke tahap yang tertinggi,” katanya.

Terdahulu, Letftenan Mohammad yang menjawat jawatan Timbalan PTD telah dinaikkan ke pangkat Jeneral bagi mengambil tugas sebagai PTD ke-29.

Mohammad dilahirkan pada 15 Mac 1964 di Machang, Kelantan dan telah berkhidmat lebih 36 tahun.

Beliau juga telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Sains Kelantan sebelum melanjutkan pelajaran di Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja pada tahun 1980.

Kemudian, beliau meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di University of North Carolina at Charlotte, Amerika Syarikat dan ditauliahkan sebagai seorang pegawai muda ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1 Julai 1987.

Di sepanjang perkhidmatan, Mohammad telah memegang beberapa jawatan penting seperti Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD), Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Panglima Latihan Tentera Darat dan Panglima Medan Barat Tentera Darat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI