fbpx
Pengemis warga Yemen meraih simpati ramai dengan membawa seorang kanak-kanak di sekitar Bukit Bintang baru-baru ini.

KL jadi lubuk duit pengemis Arab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kawasan tumpuan ramai di sekitar Bukit Bintang, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Dataran Merdeka, Masjid Jamek dan Jalan Masjid India di sini, menjadi ‘lubuk wang mudah’ kepada pengemis Arab untuk meraih simpati orang ramai.

Dengan ‘bermodalkan’ anak-anak kecil yang didakwa sedang menderita sakit selain mengalami kecacatan, pengemis warga Yemen dan Syria akan duduk di tepi-tepi lorong menadah tangan supaya dikasihani.

Tanpa rasa takut, mereka menjaja surat-surat rayuan kononnya sebagai bukti anak mereka sedang sakit dan duit tersebut didakwa bagi menampung kos perubatan serta kehidupan di ibu kota.

Hasil tinjauan Kosmo! selama tiga hari di lokasi-lokasi tersebut pada waktu puncak mendapati, secara puratanya seorang pengemis akan didatangi hampir 100 pemberi sedekah yang kebanyakan terdiri daripada pelancong asing dan rakyat tempatan dalam tempoh tiga jam.

Kebanyakan pemberi sedekah dilihat menghulurkan sekeping wang kertas bernilai RM1 selain memberi duit syiling, namun ada segelintirnya sanggup bersedekah sehingga RM20.
Ini bermakna, pengemis warga asing terbabit mampu meraih sehingga RM300 sepanjang tempoh tersebut.

Mereka hanya mengambil masa kurang dari empat jam untuk mendapatkan kutipan wang sebelum meninggalkan tempat tersebut bersama kanak-kanak yang dipercayai anak mereka.

Seorang pengemis lelaki warga Yemen, 30-an ketika ditemui Kosmo! bersama seorang kanak-kanak di kaki lima di Bukit Bintang berkata, dia sudah lama menetap di negara ini.

Kata pengemis itu, isterinya sudah meninggal dunia dan kini dia tinggal berdua bersama anak perempuannya berusia lapan tahun di Masjid India sebagai tempat berteduh.
“Kami cuma minta sedekah, tak lebih daripada itu,” ujarnya.

Seorang lagi lelaki warga Yemen berusia 30 tahun ditemui turut membawa seorang kanak-kanak dalam keadaan cacat yang diletakkan di atas lantai untuk mengemis.

“Saya tinggal berhampiran Jalan Petaling, ini adalah anak saya berusia 10 bulan, saya berada di sini sejak tahun 2013 lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Kosmo! gagal meneruskan perbualan kerana kedua-dua lelaki tersebut tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, mahupun Inggeris dan hanya bertutur bahasa Arab.

Sementara itu, seorang peniaga tempatan yang dikenali sebagai Wawa, 33, berkata, sepanjang lapan tahun berniaga di sekitar Masjid Jamek, jumlah pengemis warga asing membawa kanak-kanak yang sakit dan cacat semakin tidak terkawal.

Katanya, pengemis warga Sy­ria dan Yemen sering mengenakan pakaian serba hitam dan berpurdah bagi wanita, manakala lelaki berpakaian selekeh.

Berdasarkan pemerhatiannya, dianggarkan 30 warga asing termasuk Pakistan dan Rohingya me­minta sedekah dengan menggunakan kanak-kanak sebagai modal meraih simpati ramai.

Warga Rohingya turut mengemis bersama anaknya di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Bukan kita nak dengki atau iri hati, mereka ini untung besar, pendapatan lagi banyak daripada kita sehingga ratusan ringgit.

“Warga asing setahu saya tidak dibenarkan mengemis, tetapi kali ini serius sangat sebab sudah mula nampak menukar-nukar kanak-kanak dan bayi untuk meraih simpati,” katanya.

Wawa berkata, pengemis terbabit pernah memarahinya kerana merakamkan tindakan mereka sedang menukarkan wang kertas RM1 hasil daripada kegiatan mengemis di sebuah kedai serbaneka kepada wang kertas RM50.

“Saya tengok untung mereka cecah RM200 sehari dan mungkin juga jumlahnya lebih daripada itu,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga yang i­ngin dikenali sebagai Salmah, 45, berkata, keberadaan seorang pengemis lelaki warga Syria bersama seorang budak di Jalan Masjid India di sini, sudah berlarutan lebih setahun.

Katanya, ada juga warga asing terutamanya Arab dan Rohingya telah mula meminta sedekah dengan menggunakan kanak-kanak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

“Pengemis itu warga Syria, jadi kita nak berborak dengan dia agak sukar sebab tak boleh cakap bahasa Melayu, dia selalu datang dengan budak itu sahaja, tak nampak isterinya pun.

“Budak yang dia bawa tu memang cacat di bahagian kaki, tetapi tidak pasti itu anak dia atau tidak,” ujarnya.

Menurutnya, pengemis terbabit sukar ditangkap kerana sentiasa bergerak dan mereka tahu kalau duduk setempat akan ditahan pihak berkuasa.

Pengemis Yemen menunjukkan surat anaknya sakit kononnya daripada pihak berkuasa negaranya kepada Kosmo! ketika ditemui di Bukit Bintang.

Salmah turut menceritakan pengalaman buruknya berdepan dengan pengemis Arab yang didakwa pernah mencakar muka rakannya di depan matanya.

“Kalau selalu minta sedekah, memang kita tidak akan beri duit lagi. Ada sekali itu, kawan saya sampai dia cakar muka sehingga berdarah sebab tak beri duit. Seminggu selepas itu, dia datang balik minta sedekah.

“Kadangkala kita jadi takut kalau tak beri duit kepada mereka. Kami harap pihak berkuasa segera ambil tindakan sebelum mereka terus bermaharajalela di negara ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN