fbpx
CHIN SENG bersedia memberi tunjuk ajar kepada mereka yang mahu mempelajari pembuatan biola. – M. FIRDAUS M. JOHARI

Estetika biola buatan anak tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS keluar daripada menonton konsert klasik di Panggung Seri, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, penulis tertarik melihat seorang gadis yang mempamerkan koleksi biola dan selo.

Di hujung meja pamerannya kelihatan satu stesen pertukangan yang juga merupakan tempat demonstrasi pembuatan instrumen muzik berasal dari Eropah tersebut.

Dalam pada gadis itu memberikan penjelasan tentang biola yang ada di hadapannya, dia kemudian beralih ke stesen tersebut dan menunjukkan cara membuat biola.

Dengan tekun, gadis pembuat biola itu, Chang Song Jie, 25, menunjukkan cara dia merapikan sekeping kayu yang akan djiadikan bahagian badan untuk sebuah biola.

Menurut Song Jie, dia mula tertarik dengan seni pembuatan biola semasa masih menjalani pengajian muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) lima tahun lalu.

“Saya bermain muzik sejak kecil, bermula dengan piano kemudian selo semasa di Aswara, tetapi pada 2018, saya mendapat tahu tentang seni pembuatan biola dan tertarik untuk mempelajarinya.

“Kemudian, saya cuba mencari tentang bengkel pembuatan biola dan menghubungi mereka untuk belajar membuat biola yang kemudian menjadi aktiviti mingguan,” katanya kepada K2.

Tambahnya, dia mempelajari pembuatan biola secara sambilan, iaitu pada Sabtu dan Ahad di sebuah bengkel dan galeri biola, Deciso di Sri Damansara, Selangor.

Mengenai biola, ia merupakan sejenis alat muzik bertali yang dimainkan secara gesek dan sinonim dengan muzik klasik.

Terdapat pelbagai versi yang menceritakan tentang asal usul biola, bagaimanapun instrumen ini sangat popular dalam seni muzik di Eropah terutama negara Itali.

Di Itali juga, pembuatan biola merupakan salah satu seni yang dihargai, malah sistem pendidikan di sana turut mempunyai pengkhususan pertukangan biola sebagai pendidikan vokasional. Tidak hanya itu, kebanyakan pemuzik hebat dari Itali merupakan pemain biola dan sangat tersohor dalam arena muzik klasik.

Berkongsi tentang pengalaman pertama membuat biola, gadis asal Kuantan, Pahang itu memberitahu, pada awalnya dia mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan seunit biola.

Jelasnya, pembuatan biola bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap bahagian perlu dihasilkan secara teliti dan satu kesilapan boleh menjejaskan kualiti sesebuah biola.

Bagaimanapun, setiap biola yang dihasilkan menajamkan lagi kemahirannya dan semakin lama dia hanya memerlukan tempoh antara empat hingga enam bulan untuk menyiapkannya.

“Biola perlu dihasilkan fasa demi fasa, yang mana ia bermula daripada bongkah kayu yang dipahat untuk menghasilkan bahagian badan instrumen tersebut mengikut bentuk dan ketebalan yang tertentu.

“Setiap pembuatan bahagian biola perlu tepat kerana ia memainkan peranan dalam penghasilan kualiti bunyi instrumen tersebut pada produk akhir,” ujarnya.

Kata Song Jie lagi, meskipun pembuatan biola agak kompleks tetapi ia merupakan satu terapi buat dirinya yang mana dalam setiap pembuatan bagaikan membawanya berada di dalam dunia sendiri serta keasyikan membuat instrumen.

Pembuatan biola di Malaysia bukanlah suatu industri yang besar memandangkan ia hanya mempunyai sasaran pelanggan tertentu antaranya pemuzik dan pelajar muzik yang mempunyai pengkhususan instrumen tersebut.

Oleh kerana biola merupakan sebuah instrumen klasik yang eksklusif, penghasilannya juga adalah berdasarkan tempahan (made-to-order).

Ini berikutan, bahan-bahan untuk penghasilan biola seperti kayu, tali dan sebagainya perlu diimport dari luar negara.

Menurut guru kepada Song Jie dan pengasas Galeri Deciso, Tan Chin Seng, 42, biola tidak boleh dibuat menggunakan sebarang jenis kayu. Ia hanya menggunakan kayu jenis maple atau spruce.

“Kedua-dua kayu ini diimport dari Itali dan ia merupakan bahan utama penghasilan sebuah biola.

“Selain itu juga, pembuatan seunit biola boleh memakan masa yang panjang hingga mencecah tahun, menjadikan ia tidak sesuai untuk pembuatan secara banyak (mass produce),” jelasnya yang turut membuat selo.

Tambah lelaki asal Kepong itu, dengan semua bahan yang diimport dan masa yang diperlukan, harga bagi sebuah biola baharu juga boleh dikatakan di tahap kayangan.

Kongsi Chin Seng, sebuah biola yang baru dibuat boleh mencecah harga antara RM15,000 hingga jutaan ringgit.

Penetapan harga tersebut bergantung kepada portfolio tukang pembuat biola tersebut dan pencapaiannya dalam pertandingan pembuatan biola di peringkat antarabangsa.

“Kemahiran pembuatan biola seseorang memberi pengaruh kepada instrumen yang dihasilkan. Sebagai contoh, jika pembuat adalah seorang yang berpengaruh, maka harga biolanya akan lebih tinggi.

“Dalam pembuatan biola, kemahiran luas terutama dengan portfolio pendidikan dari Itali adalah satu jaminan buat pelanggan bahawa biola yang ditempah dihasilkan dengan betul mengikut estetik asal instrumen berkenaan,” katanya yang berguru dengan pembuat biola dari Itali.

Melihat kepada peluang kerjaya yang terjamin dalam industri pembuatan biola, Chin Seng turut menawarkan kelas pembuatan biola kepada mereka yang berminat.

Jelasnya, dia mahu berkongsi kemahiran tersebut kepada generasi muda kerana ia merupakan salah satu cara untuk memastikan industri tersebut terus berkembang di negara ini.

“Untuk kelas pembuatan biola, ia bukanlah dilakukan untuk skala yang besar, antara satu hingga dua pelajar sahaja setahun.

“Hal ini berikutan, sesi pembelajaran akan dilakukan secara praktikal yang memerlukan tunjuk ajar secara komprehensif dan teliti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN