fbpx

3,000 bot kecil di Semenanjung, Labuan, tidak berlesen, tiada insuran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR Ariza (tiga dari kiri) bersama beberapa ahli PBKM pada sidang akhbar di sebuah hotel di Manjung, Perak hari ini. Foto oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN/ KOSMO!

LUMUT – Dianggarkan kira-kira 3,000 daripada anggaran 5,000 pemilik bot kecil di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan dipercayai tidak berlesen serta tidak dilindungi insuran.

Ia sekali gus boleh menjadikan penumpang bot tersebut berisiko ‘mati katak’ jika berlaku kejadian tidak diingini ketika berada di laut terutama apabila berlaku insiden pelanggaran antara bot.

Naib Pengerusi Persatuan Bot Kecil Malaysia (PBKM), Nor Ariza Aris, kejadian pelanggaran antara bot adalah kemalangan yang sering berlaku di perairan di negara ini.

Bagaimanapun, jelasnya, Akta Perkapalan Saudagar 2011 (Akta 1393) tidak menyatakan dengan jelas perlindungan terhadap bot yang terlibat dengan kejadian pelanggaran seperti itu.

“Oleh itu, kami menyarankan semua pemilik bot kecil agar mengambil perlindungan insuran dan memastikan ianya memiliki klausa pelanggaran antara kapal dengan kapal (RDC) bagi memastikan pemilik, pemandu bot, bot, barangan dibawa dan penumpang mereka dilindungi jika berlaku kemalangan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Nor Ariza, PBKM yang ketika ini mempunyai kira-kira 800 ahli berdaftar dan 200 ahli bersekutu, sedia memainkan peranan dalam membantu pemilik bot terlibat memiliki lesen dan dilindungi insuran RDC.

Dalam pada itu, Setiausaha Eksekutif PBKM, Soh Chin Khoon berkata, pihaknya berharap dapat bertemu dengan Jabatan Laut untuk membincangkan isu perlindungan terhadap kemalangan pelanggaran sesama bot khususnya bot kecil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI