fbpx

Siti Nuramira sentuh isu agama ketika persembahan di Crack House

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirah ketika membuat persembahan komediri di Crack House Comedy Club.

KUALA LUMPUR – Seorang hos sukarela sebuah kelab komedi mendakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Siti Nuramira Abdullah menyentuh isu agama ketika membuat persembahan komediri (stand up comedy) sehingga mengejutkan pengunjung premis itu.

Muhammad Asyraf Kamal Musthaffa, 26, mendakwa wanita tersebut menggunakan kata-kata kesat sehingga menimbulkan reaksi bercampur dalam kalangan pengunjung menyebabkan beliau terpaksa meneutralkan keadaan.

Menceritakan kejadian yang berlaku pada 4 Jun 2022, saksi pendakwaan pertama itu berkata, beliau dimaklumkan ada pasangan bernama Alex dan Amira (Amy) yang memperkenalkan diri suami isteri berhasrat untuk membuat persembahan.

Ujar pereka grafik itu, selaku hos di Crack House Comedy Club, beliau selalunya akan mengingatkan pihak yang membuat persembahan agar tidak menyentuh `3 R’ iaitu tiga isu berkaitan agama, bangsa dan raja.

Muhammad Asyraf berkata, walaupun peraturan itu tidak bertulis, beliau mengambil maklum mengenainya sewaktu mengasah bakat membuat persembahan komediri di kelab berkenaan.

“Siti Nuramira pada mulanya memperkenalkan diri sambil menyatakan dia menghafal 15 juzuk al-Quran. Tanpa semena-mena, dia membuka tudung dan baju kurungnya sambil mengutarakan kata-kata kesat.

“Saya tidak pernah menyaksikan kejadian seperti ini lebih-lebih lagi ketika persembahan `live’ dan ia berlaku dalam tempoh yang singkat.

“Persembahan komediri biasanya melibatkan lawak jenaka, namun yang ini tiada lawak langsung, ” ujarnya pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

Abdul Malik kemudian memohon rakaman video berdurasi dua minit berhubung kejadian yang didakwa berlaku, ditayangkan kepada mahkamah.

Menjawab soalan Abdul Malik, Muhammad Asyraf menyatakan, sebelum persembahan bermula beliau turut mengingatkan pengunjung agar tidak membuat rakaman bagi mengelakkan sebarang `footage’ disalah guna.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam R. Sivaraj, saksi menyatakan isu bangsa dan agama bernada komedi pernah dipersembahkan di kelab itu. Beliau bersetuju kelab itu merupakan premis persendirian dan pengunjung tahu persembahan bersifat komediri.

Pada prosiding tersebut, Sivaraj turut memohon rakaman video itu diberikan kepada pihak pembelaan bagi membolehkan ia diteliti sebelum pemeriksaan balas dilakukan. Perbicaraan di hadapan Hakim Norhasniah Ab. Razak bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI