PADA Oktober tahun lalu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah melancarkan tiga varian baharu untuk model kenderaan pelbagai guna (MPV) Staria.
Tiga varian dengan nama Lite, Plus dan Max menerusi konfigurasi 10 tempat duduk ditawarkan pada harga bermula RM179,888.00.
Panjang model ini 5,253 milimeter (mm), jarak antara roda (3,273mm), lebar (1,997mm) dan tinggi (1,990mm).
Keluasan berkenaan sudah cukup untuk menawarkan ruang terbaik kepada sepuluh orang penumpang.
Baru-baru ini, HSDM mempelawa penulis untuk memandu uji model itu dengan menawarkan varian tertinggi iaitu Max.
Penulis difahamkan, sekiranya semua tempat duduk direbahkan, kapasiti ruang dalaman Hyundai Staria ini boleh mencecah 1,024 liter. Itu sekiranya ingin membawa barangan.
Jika mahu gunakan MPV ini untuk ke trip berkhemah, tempat duduk itu boleh di susun atur menjadi katil.
Selain itu, ruang kaki Hyundai Staria yang luas serta tingkap sisi besar adalah antara ciri terbaik dalam segmennya.
Bahagian dalamannya pula menggunakan susun atur yang ringkas dan sederhana untuk keselesaan pemandu serta penumpang.
Ruang ini juga diilhamkan daripada kapal persiaran bagi memberikan suasana terbuka dan unik melalui seni bina reka bentuknya yang inovatif.
Tingkap panoramik mewujudkan persekitaran yang luas dan tidak rasa terkepung kepada semua penumpang.
Penulis diberitahu rasa lapang ini diilhamkan daripada seni bina ‘hanok’ tradisional Korea bagi membolehkan penumpang menikmati pemandangan luar kenderaan.
Kokpit digital sepenuhnya direka dengan mengambil kira keselesaan pemandu.
Ciri-ciri ini menampilkan paparan kluster instrumen 10.25 inci dan skrin sentuh bersaiz lapan inci untuk sistem navigasi dalam konsol tengah.
Varian yang penulis pandu uji ini juga dilengkapi dengan kamera 360 darjah untuk memudahkan pemandu terutamanya ketika ingin meletakkan kenderaan di tempat parkir.
Bagi memberi keselesaan kepada semua penumpang, corong pendingin hawa bumbung hadir sebagai standard untuk semua varian.
Selain itu, ciri-ciri mudah lain yang ditawarkan termasuk pintu belakang gelangsar berkuasa elektrik.

Varian Max juga hadir dengan tempat duduk kulit Black Nappa.
MPV ini menggunakan enjin turbo diesel 2.2 liter CRDi yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 177PS dan tork tertinggi pada 431Nm.
MPV ini juga hadir dengan empat mod pemanduan seperti Smart, Normal, Eco dan Sport dengan sistem pacuan roda hadapan.
Sementara itu, penggunaan sistem suspensi jenis strut MacPherson di bahagian depan, manakala Multi-link pada bahagian belakang.
Rekaan luaran tidak banyak bezanya dengan varian tujuh tempat duduk sebelum ini.
Sekali pandang, mereka yang kenal sudah tahu ia model Staria.
MPV ini menggunakan rim bersaiz 18 inci dengan tayar 235/55.
Model ini juga hadir dengan ciri-ciri keselamatan terbaik dengan semua tempat duduk dilengkapi tali pinggang keledar tiga point, perehat kepala serta tempat duduk barisan kedua ISOFIX.
Di samping itu, teknologi seperti Hyundai Smartsense dengan bantuan pemanduan, Forward Collision Avoidance Assist (FCA), Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA), Lane Keeping Assist (LKA) serta Smart Cruise Control (SCC) yang bercirikan berhenti dan bergerak.
Ini membolehkan MPV berkenaan bergerak walaupun sudah berhenti sepenuhnya.














