fbpx

Penjual daging rayu bantuan, belanja perubatan anak sakit jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAHMAH membantu Putri Aishah minum susu di rumah mereka di Taman Bidara Emas Masjid Tanah baru-baru ini.

ALOR GAJAH – Berat sungguh dugaan ditanggung sepasang suami isteri di Taman Bidara Emas, Masjid Tanah di sini apabila terpaksa ‘ikat perut’ demi menyediakan belanja perubatan dua daripada tujuh anak mereka yang disahkan menghidap penyakit jantung.

Menurut Md. Sharudin Othman, 43, anaknya, Putri Ifra Mikayla, 4, dan Putri Aishah berusia empat bulan masing-masing menghadapi masalah injap dan jantung berlubang.

Katanya, dia yang hanya bekerja sebagai penjual daging di pasar tani kini bergelut untuk menampung perbelanjaan perubatan anak-anak malah bil elektrik, air dan bayaran pinjaman ansuran rumahnya juga tertunggak lebih lima bulan.

“Sebelum ini saya dan isteri, Rahmah Mohd. Sharif, 41, ada membuka kedai makan di hadapan rumah bagi menanggung kos perubatan Putri Ifra yang mempunyai masalah di bahagian injap jantungnya.

“Namun, pada Disember lalu kami sekali lagi diberikan ujian apabila Putri Aishah turut disahkan mempunyai masalah saluran injap dan jantung berlubang serta memerlukan pemantauan rapi ibunya,”katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Mengulas lanjut Md. Sharudin membe­ritahu, Putri Aishah juga tidak mampu untuk minum susu secara normal, sebaliknya menggunakan tiub yang disalurkan melalui mulutnya.

“Kos pengangkutan ulang alik ke Hospital Serdang, Selangor bagi rawatan susulan mereka juga tinggi sekitar RM300.

“Keadaan kewangan keluarga bertambah buruk apabila saya tidak dapat bekerja lebih kuat kerana masalah slip disc, manakala Rahmah perlu menjaga kedua-dua anak yang sakit,”ujarnya.

Sementara itu, Rahmah berkata, susulan masalah kesihatan suami yang tidak menentu, adakalanya empat anaknya berusia tujuh antara sehingga 11 tahun terpaksa ke sekolah tanpa wang belanja.

“Bila suami terlantar tiga ming­gu, memang kami hilang tempat bergantung, anak-anak pun terpaksa ke sekolah tanpa duit belanja.

“Namun, saya bersyukur apabila pihak sekolah menyediakan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dapatlah mereka alas perut dengan makanan disediakan,” jelasnya.

Tambahnya, antara kos lain yang membebani keluarganya adalah yuran van sekolah anak-anaknya yang mencecah RM200 sebulan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi talian 018-792 4335 atau salurkan ke akaun Bank Islam 04024020892037 (Rahmah Mohd. Sharif)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI