fbpx
Gambar hiasan

Warga asing tak bayar cukai hantar pulang RM10 bilion setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing menyaksikan kira-kira RM10 bilion wang negara mengalir ke luar negara hasil daripada wang yang dihantar oleh 2.4 juta pekerja asing dari pebagai sektor pekerjaaan.

Daripada jumlah itu, RM5 bilion yang dihantar ke pelbagai negara adalah daripada pekerja asing di sektor pembinaan.

Pakar Ekonomi, Prof. Madya Ts. Dr. Anuar Shah Bali Mohamed berkata, jumlah itu mampu mencecah berganda-ganda setiap tahun melibatkan semua sektor termasuk warga asing yang sudah menjadi tauke di negara ini.

“Pada 2019, hampir RM5 bilion wang negara mengalir keluar menerusi pekerja asing yang bekerja di sektor pembinaan di negara ini dalam setahun.

“Jika untuk satu sektor pun sudah cecah RM5 bilion, sekarang 2023, sudah pasti jumlahnya jadi lebih berganda-ganda dan mampu mencecah RM10 bilion setahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pendedahan Kosmo! baru-baru ini mengenai isu warga asing yang dahulunya hanya bekerja sebagai buruh kasar, tetapi kini telah memonopoli beberapa sektor pekerjaan selain menggajikan orang tempatan dengan upah lumayan.

Tambahnya, melihat kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2022, jumlah ke­seluruhan warga asing yang ­bekerja di negara ini adalah sekitar 2.4 juta orang.

“Sekiranya 10 peratus daripada mereka menjadi tauke dan mampu mengirimkan wang sekitar RM10,000 dalam tempoh beberapa bulan, tidak mustahil untuk wang negara dikirim keluar lebih tinggi tahun ini.

“Mereka ini pandai berjimat tinggal di negara orang, tidak boros dalam perbelanjaan, sebab itu setiap bulan, setiap tahun mampu hantar wang banyak ke kampung,” jelasnya.

Bagi Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Mohammad Noorizuddin Nooh pula, beliau melihat kewujudan banyak premis perniagaan yang dikuasai peniaga asing dan beroperasi tanpa permit sebenarnya telah merugikan ekonomi tempatan.

“Ini kerana, mereka tidak membayar cukai dan memperoleh keuntungan tanpa memberikan sumbangan kepada negara.

“Selain turut mencipta ketidakseimbangan dalam pasaran, ia boleh menjejaskan keberkesanan undang-undang dan peraturan tempatan yang telah ditetapkan untuk mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

Jelas Mohammad Noorizuddin, penting untuk kerajaan sedia ada mengambil tindakan dalam memastikan bahawa semua peniaga mengikuti peraturan dan memberikan sumbangan yang sama kepada negara dalam bentuk cukai.

“Sebenarnya, kesan keha­diran mereka yang terlalu ramai dalam sektor perniagaan adalah bergantung kepada bagaimana mereka menguruskan perniagaan dan mempengaruhi pasaran tempatan.

“Namun, ada risiko bagi negara apabila terlalu banyak transaksi ekonomi dilakukan oleh peniaga asing kerana ini mungkin memberi kesan terhadap peniaga tempatan apabila mereka tidak dapat bersaing,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN