fbpx

Demi cinta, bahana racun cemburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selebriti yang menjadi mangsa cemburu.

BUKAN sahaja cinta, cemburu juga sering membutakan hati manusia. Jika bukan kerana cinta dan cemburu, tidak akan adanya Taj Mahal bukti keagungan perasaan.

Banyak hal, daripada sekecil-kecil menjadi sebesar-besarnya isu bermula atas rasa cinta dan cemburu. Itu dua istilah tidak lepas dalam kehidupan di muka bumi.

Seorang model serta pempengaruh popular Abby Choi yang ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan bahagian badan dan kepala di tempat berasingan, misalnya. Itu satu kisah dunia yang pasti ada motif cemburu, iri dengan kesenangan kekayaan mungkin.

Lebih teruk, perbuatan itu ada kaitan dengan orang yang pernah disayanginya, bekas mentua dan suami. Bahana cemburu juga didakwa menjadi motif pelakon Kamal Adli nyaris maut dek kegilaan seorang lelaki yang tiba-tiba bertindak menyerang dan memukulnya menggunakan sebatang cota besi tanpa rasa takut disaksikan ramai orang di kawasan awam.

Kalau bukan dek kedurjanaan hasil daripada kebencian dalam hati, keganasan sedemikian tidak berlaku. Tiada jangkaan!

Isteri Kamal, pelakon Uqasha Senrose sendiri mendakwa, cemburu menjadi motif sehingga lelaki berkenaan bertindak seperti mahu membunuh suaminya. Lelaki itu juga dikatakan cemburukan Kamal kerana menikahi Uqasha.

Jarang sebenarnya ada kes melibat selebriti terkenal dipukul orang bukan dalam industri. Selalunya, khalayak didedahkan dengan kes artis pukul orang, kalau bukan pasangan sendiri seperti yang berlaku kepada pelakon Hafidz Roshdi dan isterinya.

Itu biasa berlaku di mana sahaja, bukan hanya di Malaysia bahkan ramai artis Hollywood, misalnya Rihanna yang pernah teruk dipukul kekasihnya, penyanyi Chris Brown akibat cemburu dan bertindak begitu akibat pengalaman hidup bersama ibu bapa.

Pelakon popular Indonesia, Nikita Mirzani pula pernah mencederakan kepala suaminya menggunakan kasut tumit tinggi akibat marah, cemburu dan bengang dicurangi sekitar 2015.

Ada juga kisah cemburu melucukan seperti seorang isteri di Britain yang melarang suaminya menonton siaran televisyen selain program tentang tumbuhan, termasuk memeriksa e-mel dan mesej telefon bimbit setiap hari kerana cemburu. Malang si suaminya.

Kes-kes malang, aneh dan ngeri melibatkan cemburu dan cinta mungkin enteng bagi sesetengah orang yang tidak kena pada batang hidung sendiri. Kenapalah cemburu sehingga tergamak membunuh atau mencederakan sedangkan cemburu itu ada baiknya.

Tapi itulah. Ilmuan tersohor Indonesia, Buya Hamka pernah menulis, kadang-kadang cinta bersifat tamak dan loba, kadang-kadang was-was dan kadang-kadang putus asa. Ya, dalam cinta dan cemburu, selalu akan ada si pemenang dan si putus-asa.

Tinggal lagi, bagaimana cinta itu dijatuhkan ke tanah yang mana, sama ada mendurjanakan atau menyuburkan. Sebenarnya, cemburu itu afdal. Cemburulah sebab itu tandanya sayang, tandanya kita masih bernyawa bukan mati atau mematikan sebaliknya menghidupkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI