fbpx

Dewan Rakyat: Kelas renang percuma buat kanak-kanak B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Program kelas renang percuma yang bakal memberi faedah kepada kira-kira 1,600 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun daripada keluarga B40 akan dilancarkan bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh berkata, program itu akan diadakan sepanjang tahun ini di beberapa negeri terpilih yang mencatat keadar kematian tertinggi akibat lemas.

“Program kelas renang merupakan sebuah program bersifat pendidikan bagi memastikan kemahiran renang dapat diterapkan kepada rakyat malaysia khususnya kepada kanak-kanak.

“Kes lemas kanak-kanak datanya kira-kira 500 setahun. Saya telah meminta KBS memastikan kolam renang dimiliki kerajaan digunakan untuk membantu membantu kanak-kanak keluarga B40 menghadiri kelas renang,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin (PN-Putrajaya), Hannah berkata, program tersebut menjadi keutamaan KBS memandangkan setiap kali musim cuti persekolahan ada kes lemas membabitkan kanak-kanak dilaporkan berlaku.

“Kalau kita baca surat khabar setiap kali cuti sekolah ada kanak-kanak lemas di hotel atau sungai. Kawasan saya di Segambut ada kanak-kanak masuk kolam Indah Water Konsortium (IWK) kerana tidak tahu itu adalah bahaya.

“Saya sedang nenteliti data ini untuk pastikan tempat kita pilih itu mempunyai data (kes lemas) yang tinggi. Bermaksud kanak-kanak di kawasan itu tiada tempat rekreasi untuk bermain,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Tuan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai yuran kolam swasta terlalu tinggi, beliau berkata, KBS akan cuba membina sebanyak mungkin kolam renang untuk kemudahan penduduk.

“Bagaimanapun saya tidak mampu dalam tahun ini juga untuk buat semua perkara itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI