fbpx
Sebahagian Geng Gerau Simpang Tok Dol melakukan aktiviti gerau bagi menjayakan satu majlis tahlil di Kampung Seberang Tok Dol, Tasek Gelugor dekat Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.

Pupuk kembali semangat kenduri rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMALAN gerau atau lebih dikenali sebagai bergotong-royong ketika majlis keramaian sudah menjadi kelaziman dalam kalangan masyarakat Melayu sejak turun-temurun dan istilah itu amat sinonim bagi masyarakat di utara Semenanjung.

Namun kini, aktiviti tradisi itu dilihat semakin terpinggir berikutan peredaran zaman yang kian moden dan gaya hidup masyarakat yang serba pantas.

Bercakap kepada Panorama, Pengerusi Geng Gerau Seberang Tok Dol dari Kampung Seberang Tok Dol, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Mohamad Hizir Saad, 41, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Su berkata, istilah ‘gerau’ adalah sinonim dengan istilah ‘rewang’ yang membawa maksud sama iaitu sekumpulan penduduk kampung berganding bahu melakukan kerja memasak sesuatu hidangan secara muafakat apabila melibatkan sebarang aktiviti keramaian.

“Tidak dinafikan aktiviti ‘gerau’ ataupun ‘rewang’ dalam kalangan masyarakat kita kini dilihat semakin dilupakan disebabkan arus pembangunan yang semakin pantas dan serba moden.

“Atas sebab itu, Geng Gerau Seberang Tok Dol mengambil inisiatif untuk menyuburkan kembali amalan gerau ini dengan melakukan aktiviti gotong-royong untuk sebarang majlis keraian seperti majlis perkahwinan, tahlil, cukur jambul, berkhatan atau apa sahaja melibatkan majlis-majlis di sekitar daerah Seberang Perai Utara, yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu.

“Aktiviti gerau di sini melibatkan empat buah kampung iaitu Kampung Seberang Tok Dol, Kampung Chegar, Kampung Sungai Korok dan Kampung Lahar Yooi yang mana kesemua kampung ini di bawah kariah sama iaitu Kariah Kampung Lahar Yooi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, semasa aktiviti gerau, kebiasaannya kaum Adam akan melakukan kerja-kerja seperti menyiapkan dapur kayu, menyediakan bahan masakan, memasak beberapa hidangan seterusnya melakukan kerja menghidang termasuk melakukan kerja-kerja penyediaan khemah, kerusi dan juga meja.

“Individu yang terlibat dalam aktiviti gerau ini adalah kira-kira 70 hingga 80 orang penduduk kampung lelaki dewasa yang berperanan sebagai tukang masak, potong bahan mentah seperti daging lembu, kambing, ayam dan lain-lain bahan serta tukang hidang.

“Kaum Hawa pula lebih kepada kerja-kerja ringan seperti membuat pemanis mulut dan lain-lain hidangan yang sesuai dengan kudrat mereka. Itupun dilakukan dalam bilangan kecil dan di dapur rumah sahaja,” katanya.

Tambahnya, di bawah Persatuan Gerau Seberang Tok Dol, kebanyakan ahli yang terlibat adalah dalam kalangan golongan belia.

“Boleh dikatakan tiga per empat golongan belia yang terlibat. Mereka inilah yang akan melakukan kerja-kerja yang saya sebutkan tadi, manakala orang veteran pula berperanan sebagai pemantau dan akan memberi sebarang nasihat sepanjang aktiviti,” katanya lagi.

Kaum wanita menyiapkan bunga telur sempena satu majlis perkahwinan di Taman Desa Ara Permai, Tasek Gelugor.

Bercakap mengenai kadar upah, Mohamad Hizir berkata, amalan gerau tidak melibatkan bayaran atau upah sebaliknya dilakukan secara ikhlas.

“Selalunya aktiviti ini tidak melibatkan sebarang bayaran atau upah. Tuan rumah hanya sediakan wang untuk membeli bahan-bahan masakan dan benda yang diperlukan sahaja. Selebihnya penduduk yang terlibat akan lakukan kerja-kerja persiapan majlis.

“Inilah kemanisan amalan gerau, selain dilakukan secara ikhlas ia juga dapat menjimatkan kos dari segi bayaran upah dan dapat meringankan beban bagi pihak tuan rumah kerana ada dalam kalangan mereka bukan daripada golongan berkemampuan.

“Jika ada pun bayaran, itu terserah kepada pihak tuan rumah sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, salah seorang ahli veteran geng gerau. Mat Sapak Adam, 69, berkata, penglibatan golongan belia dalam aktiviti gerau kampung tersebut sememangnya patut dipuji kerana golongan itu tidak malu-malu untuk menyertai aktiviti tersebut.

“Orang muda inilah yang akan menyambung warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita dahulu. Tanpa penglibatan mereka, sudah pasti amalan ini akan terhenti. Jika nak diharapkan dengan golongan tua seperti saya memang takkan lama memandangkan usia semakin meningkat, bila-bila masa saja boleh pergi,” katanya yang berasal dari Kampung Chegar, Tasek Gelugor.

Tambahnya, gerau bukan sahaja mengeratkan ukhuwah sesama jiran tetangga, malah dapat mempromosikan amalan bantu-membantu dan muafakat sesama penduduk kampung kepada masyarakat luar.

“Memang seronok kalau anak-anak muda turut serta menjayakan majlis seumpama ini. Selain dapat mengeratkan silaturahim sesama penduduk, mereka juga dapat menimba ilmu baharu daripada orang-orang lama,” katanya yang berperanan sebagai tukang masak selain turut berkongsi ilmu masakan dengan geng gerau yang lain.

Dalam pada itu, seorang lagi geng gerau, Muhammad Taqiuddin Ismail, 34, berkata, gerau dilihat dapat mengelakkan golongan muda daripada terjebak perkara tidak berfaedah.

“Memang bagus dan seronok aktiviti seumpama ini kerana anak-anak muda dapat berkumpul dengan orang-orang tua untuk berkongsi cerita dan ilmu masakan yang diamalkan sejak turun-temurun.

“Malah, tidak timbul rasa bosan jika buat aktiviti ini sebaliknya wujud kepuasan apabila kami berjaya sediakan pelbagai hidangan buat tetamu yang datang ke majlis ini secara bergotong-royong yang mungkin sudah kurang diamalkan masyarakat bandar,” katanya.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Madya Dr. Nazarudin Zainun, istilah ‘gerau’ sememangnya berasal dari masyarakat Melayu di utara Semenanjung, manakala istilah ‘rewang’ pula berasal dari masyarakat Jawa yang rata-ratanya di negeri Selangor dan Johor.

“Istilah ‘gerau’ memang digunakan dalam masyarakat Utara, tapi istilah ‘rewang’ pula adalah berasal dari masyarakat Jawa. Namun begitu, kedua-dua istilah ini mempunyai maksud lebih kurang sama sahaja iaitu penyediaan makanan atau memasak dalam sesuatu majlis untuk tujuan yang sama,” katanya.

Jelasnya, aktiviti itu diwujudkan dengan tujuan menyatukan sesama masyarakat bagi tujuan solidariti iaitu melakukan aktiviti secara bersama-sama, bergotong royong dan secara bermuafakat.
Nazarudin menambah, pada kebiasaan aktiviti ‘gerau’ akan melibatkan kerjasama seluruh penduduk kampung yang mempunyai peranan masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN