fbpx

Konsert reunion penyatuan ‘mahal’ ST12

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENTAS Axiata Arena menjadi saksi penyatuan semula Charly Van Houten (kanan) bersama ST12 dengan mempersembahkan deretan hit mereka menghiburkan 8,000 peminat malam tadi. Foto - AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Dibanjiri lebih 8,000 peminat tegar, Konsert Reunion ST12/20 Tahun Charly Berkarya sememangnya menjadi lubuk perhimpunan sebuah manifestasi muzik sarat nostalgia.

Bagai dijanjikan bekas vokalis kumpulan itu, Charly Van Houten, peluang beraksi semula di pentas gah selepas lebih sedekad membawa haluan sendiri dianggap penyatuan paling ‘mahal’ buat mereka.

Seperti dua lagi rakan seperjuangan, Ilham Febry atau Pepeng (dram) dan Indra (bass), setiap satu dendangan bagai mengimbau suka duka mereka menerjah pengembaraan dalam mengukuhkan jenama ST12.

Malam tadi, penonton yang memenuhi Axiata Arena menjadi saksi magis band popular Indonesia itu terus ampuh menghadiahkan moment manis buat khalayak bersama seleksi malar segar.

Lebih istimewa, akui penyanyi berusia 40 tahun itu, selepas dua dekad berkarya kali ini mereka berpeluang tampil di Malaysia menerusi reunion bersejarah itu.

Memanaskan panggung dengan Rasa yang Tertinggal daripada album Jalan Terbaik yang diluncur pada 2005, persembahan diteruskan dengan Jangan Mau Mau, Aku Terjatuh dan sebuah lagi hit, Putri Iklan.

Momentum terus memuncak apabila Stasiun Cinta, Asmara, Terlalu, Istana Bintang, Sungguh Terlalu Indah dan Tujuh Tahun pula diperdengarkan.

Bagai melewati terowong masa, setiap satu dendangan akui Charly mempunyai nilai sentimental yang menyingkap erti persahabatan serta kasih sayang antara mereka walau tidak lagi bersama selepas dia memilih untuk berundur dari ST12 pada 2011.

Jangan Marah Marah yang dihasilkan secara bersama semula selepas lapan tahun terpisah turut dialunkan pada konsert malam tadi membuatkan arena gah itu bergema dengan sorakan ribuan peminat.

Sepanjang lebih dua jam beraksi dan berkongsi pengalaman lampau, ST12 tidak ketinggalan mendedikasikan rasa terima kasih terhadap peminat Malaysia.

“Malam ini akhirnya terjadi bukan kerana kita hebat, tetapi disebabkan kalian yang cukup bahagia.

“Sudah 20 tahun berkarya dan baru sekarang dapat hibur ‘fans’ di sini. Terima kasih Malaysia,” kata Charly turut merancang mengadakan konsert serumpun di Indonesia pula.

Selain repertoir daripada album terdahulu, ST12 turut mengundang rakan seperjuangan Firman Siagian selain penyanyi tempatan seperti Jaclyn Victor, Ezad Lazim serta anaknya, Restu Van Houten. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI