BERTERASKAN gastronomi makanan Melayu Utara yang autentik, Kedai Kopi Maneh di Shah Alam, Selangor, tampil untuk mengangkat warisan rasa tradisional.
Menggabungkan konsep kopitiam dengan masakan Melayu asli, kedai tersebut menampilkan hidangan berasaskan resipi turun-temurun keluarga yang berasal dari Pulau Pinang.
Pemilik mengekalkan keaslian cara penyediaan, rasa dan identiti makanan Melayu Utara, sekali gus menawarkan pengalaman menjamu selera yang jarang ditemui di Shah Alam.
Menurut pemilik kedai, Malek Ahmad, motivasi penubuhan kedai tersebut adalah kerana ketiadaan kedai makan Melayu autentik yang menawarkan hidangan sarapan di sekitar Shah Alam.
“Kedai ini dinamakan Kedai Kopi Maneh, dengan perkataan ‘maneh’ membawa signifikan rasa manis serta sebutan yang sinonim dengan dialek orang Utara.
“Sementara itu, semua hidangan disajikan berasaskan resipi tradisional keluarga yang diwarisi daripada ibu dan dikekalkan keasliannya,” katanya kepada CitaRasa.
Sebagai contoh klasik, cucur udang dihidangkan bersama kuah kacang dan bukannya sos cili seperti yang lazimnya ditemui di kebanyakan tempat.
Lempeng kelapa atau peknga pula disajikan bersama sambal bilis, selari dengan cara penyajian masyarakat di Utara.

Nasi lemak pula hadir dengan pilihan ayam, sotong dan kerang dengan perancangan untuk menambah lauk paru dan daging selepas ini.
Mi kari Melayu yang menggunakan santan turut menjadi pilihan dan boleh dinikmati bersama ayam, kerang atau sotong.
Selain itu, lontong kuah lodeh yang bertekstur cair tetapi berperisa pekat disediakan dalam variasi biasa, kerang atau sotong.
Manakala ubi kayu rebus yang dimakan bersama sambal bilis atau kelapa menjadi antara kegemaran pelanggan.
Menu lain yang disajikan termasuk roti goyang iaitu roti bakar bersama telur separuh masak, bihun goreng dan mi goreng.
Bagi menambah kepelbagaian, hidangan seperti nasi kerabu dari Kelantan serta nasi dagang dari Terengganu turut disajikan.
Terdapat juga satu menu yang menampilkan sentuhan gaya masakan Cina terkenal di Utara iaitu wantan mi kicap.

Sebanyak 20 jenis kuih-muih Melayu disajikan termasuk pulut panggang, lompat tikam, kuih bakar dan kuih hijau.
Menariknya, sebahagian kuih itu diambil terus dari negeri asalnya bagi mengekalkan keaslian rasa.
Tambah Malek, filosofi menu yang diketengahkan berteraskan penyediaan makanan dan minuman ringkas, autentik serta bebas daripada elemen fusion moden.
“Sasaran utama kedai ini adalah golongan warga emas, keluarga dan masyarakat Melayu dengan penekanan terhadap nostalgia serta keaslian rasa.
“Namun, kami sedia memenuhi permintaan pelanggan seperti penyediaan sambal dengan gula atau tambahan kelapa mengikut cita rasa masing-masing,” katanya.
Memandangkan kedai itu mempunyai perkataan ‘kopi’, maka sudah tentu terdapat minuman kopi ditawarkan.
Kopi yang disajikan dalam bentuk kopi ais, kopi panas serta kopi ‘O’ itu dihasilkan daripada campuran biji kopi lokal iaitu dari Perlis, Johor dan Ipoh.
Bagi teh pula, pihaknya menawarkan campuran tiga jenis serbuk teh iaitu 888, teh masjid dan tiga kaki.














