fbpx

KBS mula pandang serius prestasi Zii Jia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (kanan) menghadiri Majlis Pelancaran Aplikasi AFA yang bakal menjadi platform menyatupadukan rakyat Malaysia menerusi sukan dan rekreasi semalam.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedia untuk mengadakan perbincangan dengan Lee Zii Jia berhubung prestasi tidak menentu yang ditampilkan perseorangan lelaki No.1 negara itu musim ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pertemuan empat mata itu bertujuan bagi mengenal pasti apa yang boleh dilakukan oleh pihak kementerian bagi membantu Zii Jia kembali mencapai prestasi terbaik.

Beliau turut menasihatkan juara Asia itu supaya tidak terlalu kecewa selepas dia tersingkir di pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Jerman di Mulheim Khamis lalu.

Zii Jia menampilkan aksi di bawah prestasi sebenar apabila akur dengan kekalahan tiga set 21-15, 20-22, 21-23 kepada pemain tidak ternama dari Taiwan, Lee Chia Hao.

“Saya sudah hubungi dia (Zii Jia) selepas perlawanan tersebut dan beritahu untuk berjumpa dengannya sebaik pulang ke ta­nah air bagi berbincang bagaimana kita boleh bantu dia meningkatkan prestasi.

“Pada perjumpaan sebelum ini, kami ada berbincang mengenai bantuan-bantuan yang boleh diberikan kepadanya. Saya akan sentuh perkara ini dalam sidang media (Road to Gold) esok (hari ini),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Aplikasi AFA di Petaling Jaya semalam.

Untuk rekod, bekas pemenang Kejohanan Seluruh England (All England) masih kemarau kejua­raan selepas memenangi Terbuka Thailand tahun lalu, selain belum melangkah ke pusingan suku akhir dalam empat kejohanan yang disertai musim ini.

Dalam pada itu, Hannah enggan menyalahkan Zii Jia selepas dia memuat naik status dengan perkataan tidak sepatutnya di media sosial sebaik tersingkir di Terbuka Jerman, sebaliknya be­liau faham tekanan yang dihadapi pemain itu.

“Dia tidak ada beritahu apa-apa (berhubung status). Bagi saya, dia adalah pemain profesional, bukannya budak kecil dan kita harus beri ruang kepadanya terlebih dahulu.

“Saya pernah cakap atlet adalah sumber inspirasi kepada ramai rakyat Malaysia dan mereka (atlet) ada turun naik. Saya hanya mahu berikan sokongan kepada atlet kita, mungkin dari segi latihan, media sosial dan kekuatan mental,” ujar Hannah.

Beliau turut menjelaskan, Institut Sukan Negara (ISN) pada ketika ini ada memberikan bantuan, tetapi bukan secara percuma dengan harga berpatutan, terutamanya kepada pemain-pemain profesional.

Sementara itu, Hannah percaya aplikasi AFA mampu menjadi platform untuk menyatupadukan rakyat Malaysia menerusi sukan dan rekreasi, selain menjadikan industri sukan negara ke tahap lebih tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI