fbpx

Tragedi 7-0, troll keterlaluan membawa padah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

MASIH segar, seolah-olah baru sahaja terjadi sedangkan tragedi dimalukan 7-0 di Anfield sudah hampir seminggu berlalu, namun masih trending.

Bukan sahaja di YouTube, di laman media sosial juga penuh dengan segala macam perkataan, gambar, video, ulasan dan banyak lagi kreativiti telah dipaparkan hari demi hari sejak 6 Mac lepas sehingga hari ini.

Meskipun bangkit bergaya pada perlawanan Liga Europa dengan menewaskan wakil La Liga 4-1 di Old Trafford awal pagi semalam, namun belum mampu membendung serangan demi serangan berkait tragedi 7-0 di alam maya.

Ingatkan kemenangan itu mampu memesong atau menghentikan kegilaan juak-juak terhadap tragedi 7-0 tetapi ibarat sebuah nyiru tidak akan mampu menutupi bangkai seekor gajah.

Situasi serangan itu dinamakan sebagai troll atau ‘hasut maya’ yang didefinisikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai merujuk istilah berkaitan bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Menurut Kamus Cambridge pula, troll merujuk kepada seseorang yang meninggalkan mesej menjengkelkan dengan sengaja atau menyinggung perasaan di internet, bagi mendapatkan perhatian atau menimbulkan masalah termasuk bertujuan mengganggu orang lain.

Troll juga merupakan slanga internet bagi merujuk seseorang yang sengaja mencetuskan konflik, permusuhan atau perbalahan dalam komuniti sosial di talian internet.

Sesiapa sahaja boleh melakukan troll internet. Malah, orang yang paling baik, rasional dan lemah lembut dalam kehidupan sebenar boleh mempamerkan tingkah laku buruk dengan melakukan troll sebaik sahaja mereka masuk ke dalam talian.

Troll agak berbeza. Mereka mempunyai tahap lebih tinggi dipanggil potensi sosial negatif. Ini merupakan cara mudah untuk memperkatakan apa sahaja yang mereka suka tanpa menghiraukan kerosakan, penderitaan dan pada masa sama inginkan perhatian.

Troll juga boleh menyebabkan kesan negatif yang ketara dan efek signifikan terhadap kesihatan fisiologi dan psikologi seperti tidur tergganggu, kemurungan, rendah harga diri, mencederakan diri sendiri bahkan terlintas untuk membunuh diri dan dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan bunuh diri.

Selain itu, troll mampu menyebabkan kebencian dalam talian dengan melakukan serangan peribadi yang menyasarkan seseorang kerana bangsa, budaya, agama, jantina, orientasi seksual atau ketidakupayaan mereka.

Lebih malang, ia mungkin menggalakkan mentaliti perusuh, menggesa orang lain untuk menyertai serangan supaya boleh menjadi tumpuan.

Justeru, baik atau sebaliknya troll itu terpulang kepada masing-masing sama ada bagi tujuan gurauan, hiburan atau keseronokan semata-mata, namun berpada-pada agar tidak melampaui batas.

Jangan pula ada yang berputus kasih, hilang saudara, tidak bertegur sapa mahupun berkelahi sahabat gara-gara troll. Bak kata pepatah, jika tidak tahan panas, jangan berada di dapur. Jadi, elak diri jadi mangsa troll. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI