fbpx

Tiga diberkas tumbuk muka, samun guru wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Tiga lelaki warga tempatan yang melakukan samun berkumpulan dengan menyasarkan rumah berpenghuni telah berjaya dicekup pihak polis, Ahad lalu.

Ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun telah ditahan di Damansara dan juga Petaling Jaya kira-kira pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 5.15 petang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan pada 25 Februari berkenaan kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Taman Pelangi, Sentul.

“Mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 45 tahun, bekerja sebagai seorang guru. Ketika kejadian mangsa yang berada di dalam bilik telah ditumbuk di muka, dipukul di bahagian leher dan diikat dengan menggunakan wayar.

“Sebuah telefon bimbit, seutas jam tangan, kad bank dan juga wang tunai bernilai RM6,000 kemudian dilarikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, hasil siasatan mendapati modus operandi kumpulan itu adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan rumah yang berpenghuni.

Sehubungan itu, polis berjaya merampas seutas jam tangan milik mangsa, dan dua buah telefon bimbit pelbagai jenama termasuk serangkai anak kunci, sebuah motosikal dan beberapa helai pakaian yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.

“Kesemua suspek didapati mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan telah direman di Ibu Pejabat Daerah Sentul bermula Ahad lepas sehingga hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Berikutan itu, kita berjaya menyelesaikan empat kes di Kuala Lumpur dan satu lagi kes di Selangor,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI