fbpx

Tak nampak Bainun simbah Bella air panas, bagi makan cili – saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Saksi pembelaan ketiga memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa, dia tidak pernah melihat Siti Bainun Ahd Razali mendera remaja Sindrom Down Bella.

Semasa sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, ketika dicadangkan bahawa kecederaan dialami Bella akibat perbuatan Siti Bainun, saksi itu Noor Marliana Ramlee, 28, menjawab tidak setuju.

Nor Azizah: Saya katakan apa yang berlaku di Kondominium Irama Wangsa kamu tahu.
Noor Marliana: Tidak semua.

Nor Azizah: Saya cadangkan kamu nampak kejadian Siti Bainun simbah air panas kepada Bella.
Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Saya cadangkan kamu tahu dan lihat Siti Bainun pernah gunakan picagari, cawan Ikea dan Starbucks untuk simbah air panas kepada Bella.
Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Saya cadangkan cawan ini (saksi dirujuk gambar barang kes) digunakan Siti Bainun untuk simbah air panas kepada Bella.
Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Saya cadangkan juga kamu tahu Siti Bainun ambil air panas dari mesin penapis air (Cukcoo) untuk simbah kepada Bella.
Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Saya cadangkan juga kamu tahu Siti Bainun arahkan Yasmin untuk mandikan Bella di tandas dengan air panas dari pemanas air.
Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Kamu tahu dan lihat Siti Bainun tonyoh cili di mata Bella.
Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Saya cadangkan kamu tahu dan lihat Siti Bainun beri makan cili kepada Bella.
Noor Marliana: Tidak setuju.

Pada 14 April tahun lalu, saksi pendakwaan kelima Yasmin Nahar Mahmood dalam keterangannya kepada mahkamah memberitahu Bella diberi makan 20 biji cili padi selama beberapa kali seminggu oleh Siti Bainun.

Menurut keterangannya, Bella juga dimarah dan diugut diberi air panas jika tidak mendengar cakap, selain ditendang di perut jika menjerit kuat ketika diberi suntikan picagari.

Dalam prosiding sama, Noor Marliana turut menafikan keterangannya di Mahkamah Sesyen di sini adalah semata-mata untuk menyelamatkan Siti Bainun daripada tuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Noor Marliana turut menafikan terhutang budi kepada Siti Bainun dan mereka-reka cerita selain menafikan menerima barangan mewah termasuk kereta jenis Honda Jazz daripada Siti Bainun.

Sementara itu saksi pembelaan keempat Nor Aidil Farhab Johaizad, 26, dalam keterangannya berkata dia yang membawa masuk saksi pendakwaan pertama Zurianty Sudin masuk ke unit kondominium itu pada 24 Jun 2021.

“Saya membawa masuk kak Zu (Zurianty) selepas kak Zue beritahu Bainun beri kebenaran untuk ke rumah itu. Namun apa yang pelik selepas sampai di unit itu kak Zu manangis sambil memegang telefon dan langsung tidak masuk ke rumah,” kata saksi itu.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI