fbpx

Kembar paling pramatang di dunia lahir 125 hari lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shakina dan Kevin diberitahu oleh doktor bahawa kedua-dua bayi mereka sukar diselamatkan dan mempunyai sifar peluang untuk hidup. - Guinness World Records

TORONTO, KANADA – Sepasang bayi kembar yang dilahirkan pada minggu kehamilan ke-22 dinamakan Guinness World Records sebagai pasangan kembar paling pramatang di dunia, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Adiah dan Adrial Nadarajah lahir semasa usia kandungan 126 hari lebih awal, mengatasi rekod sebelum ini yang dicatatkan kembar di Iowa, Amerika Syarikat pada 2018 yang dilahirkan ketika usia kandungan 125 hari lebih awal.

Tempoh penuh kehamilan biasaannya adalah 40 minggu, menjadikan pasangan kembar bayi lelaki dan perempuan itu pramatang selama 18 minggu.

Ibu mereka, Shakina Rajendram berkata, dia mula mengalami kontraksi ketika usia kandungannya 21 minggu dan lima hari.

Keadaan itu membuatkan doktor memberitahu bahawa kedua-dua bayinya sukar diselamatkan dan mempunyai sifar peluang untuk hidup.

Kebanyakan hospital tidak akan cuba menyelamatkan bayi yang dilahirkan sebelum minggu ke-24 hingga 26.

Namun, Shakina dan suaminya, Kevin Nadarajah bernasib baik kerana mereka dapat bertukar ke Hospital Mount Sinai di Toronto yang memiliki pakar-pakar di unit rawatan rapi neonatal.

Pada hari kedua mengalami sakit kontraksi di mana usia kehamilan Shakina adalah 21 minggu dan enam hari, dia diberitahu bahawa sekiranya bayinya dilahirkan walau hanya beberapa minit sebelum 22 minggu, mereka akan dibiarkan mati.

Meskipun mengalami pendarahan yang banyak, Shakina berkata, dia cuba sedaya upaya untuk ‘menahan’ bayi-bayinya selama beberapa jam lagi.

Akhirnya, selepas air ketubannya pecah 15 minit selepas waktu tengah malam iaitu kurang dua jam selepas memasuki minggu kehamilan ke-22, Adiah dan Adrial dilahirkan.

Pasangan kembar itu berusia setahun, dan meskipun keadaan kesihatan mereka masih dipantau rapat oleh doktor, kedua-dua mereka berada dalam keadaan baik. – Agensi

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI